Betamek dapat manfaat besar prestasi mantap jualan PERODUA - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Betamek dapat manfaat besar prestasi mantap jualan PERODUA

Betamek dapat manfaat besar prestasi mantap jualan PERODUA

10 Apr 2023

Perolehan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bagi industri automotif, Betamek Bhd yang menjadi pembekal utama PERODUA dijangka sejajar dengan prestasi jualan pengeluar kereta itu yang agak kukuh.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam satu nota hari ini berkata, PERODUA telah mencatatkan jualan sebanyak 21,400 unit pada Januari 2023, dengan menguasai pasaran sebanyak 43.4 peratus.

“Pengurusan PERODUA baru-baru ini telah mendedahkan sasaran jualan 314,000 unit untuk 2023, yang membayangkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 11.3 peratus selepas mencapai rekod tertinggi 282,000 unit pada 2022.

“Sasaran memberangsangkan ini disokong oleh tunggakan tempahan yang positif pada 220,000 unit dan peningkatan pengeluaran yang dirancang bagi tahun ini kepada 330,000 unit,” katanya.

HLIB berkata, PERODUA baru-baru ini melancarkan model gantian Axia serba baharu berharga daripada RM38,600 sehingga RM49,500 pada pertengahan Februari dengan lebih 20,100 tempahan direkodkan.

“Kami menjangkakan kemas kini membabitkan dua model pada 2023 termasuk pengenalan kenderaan elektrik hibrid menjelang 2024. Ini meningkatkan lagi prospek jualan Betamek, berdasarkan rekod prestasinya dalam pembekalan kepada setiap model Perodua,” katanya.

“Betamek membina asas kukuh pada paras 42 sen hingga 49 sen, dengan petunjuk yang baik. Lonjakan melebihi rintangan segera 50 sen mungkin mencerminkan potensi aliran menaik bagi saham itu serta boleh disemak semula pada paras 52 sen, 55 sen dan 57 sen.

Bermula daripada membekalkan sistem audio kenderaan untuk Perodua Kancil, Betamek telah berkembang untuk menjadi pembekal utama kepada PERODUA dengan membekalkan 63.2 peratus daripada jumlah kenderaan PERODUA yang dijual pada 2021.

Betamek mengeluarkan pelbagai produk serta komponen audio kenderaan seperti sistem infotainment, aksesori audio-video, panel kawalan penyaman udara, pengecas bas bersiri universal, suis cermin, kluster suis, termasuk soket kuasa untuk pelbagai jenama automotif di Malaysia dan Indonesia (melalui PERODUA).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon