MITI kini dikenali Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri
12 Apr 2023
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri atau dalam Bahasa Inggeris, ‘Ministry of Investment, Trade and Industry’, dengan mengekalkan akronim yang sama iaitu MITI.
Penjenamaan itu seiring dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Kabinet pada 5 April lalu.
MITI dalam satu kenyataan berkata, penjenamaan ini bertepatan dengan fungsi Kementerian yang menjadi peneraju dan bertanggungjawab untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing, memperkasakan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan antarabangsa serta memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan.
“Keputusan ini juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti penggalakan pelaburan seperti yang digariskan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional bagi kesinambungan pembangunan semula ekonomi negara seperti yang digariskan di dalam wadah Kerajaan Madani,” katanya.
Kenyataan itu menambah, dengan penjenamaan ini, MITI terus komited untuk menarik pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi, memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan sektor industri sedia ada sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara bagi kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sumber: Berita Harian