Lebih ramai usahawan China dijangka melabur di Malaysia - PUCM - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Lebih ramai usahawan China dijangka melabur di Malaysia – PUCM

Lebih ramai usahawan China dijangka melabur di Malaysia – PUCM

07 Apr 2023

Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) menjangkakan kehadiran lebih banyak pelabur dan usahawan China ke Malaysia dan sebaliknya, susulan kejayaan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini, kata Presidennya, Datuk Keith Li.

Lawatan rasmi Anwar ke republik itu turut menyaksikan Malaysia menerima komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah yang bernilai kira-kira RM170 bilion daripada kalangan pelabur China menerusi pemeteraian 19 memorandum persefahaman melibatkan syarikat kedua-dua negara.

Li turut berkongsi keyakinannya bahawa masa depan Malaysia dan China dalam aspek perniagaan adalah cerah memandangkan kedua-dua negara saling aktif bekerjasama bagi meningkatkan penglibatan dua hala, hubungan dagang serta hubungan persahabatan.

“Kunjungan Perdana Menteri Anwar ke Beijing adalah satu kejayaan besar kerana dapat membawa masuk banyak pelabur China. Kita juga berharap menerusi usaha pemimpin kedua-dua negara akan membawa manfaat seperti lebih banyak perniagaan dan pelaburan dua hala serta meningkatkan lagi perdagangan.

“Banyak usahawan China seperti saya yang (memilih untuk) menetap di Malaysia bagi tempoh lama. Ada yang sayangkan negara ini dan seperti saya juga, berkahwin dengan rakyat tempatan dan tinggal lebih lama di sini.

“Budaya etnik Malaysia juga pelbagai dan ia adalah sebuah negara yang aman. Memang seronok dapat menetap di sini,” katanya selepas mengagihkan pek makanan Ramadan daripada Malaysia-China Insight kepada kakitangan Bernama di sini pada Jumaat.

Pihak Malaysia-China Insight menaja 400 pek makanan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat selain menyasarkan untuk melakukan program sama setiap tahun.

Li yang juga pengasas Malaysia-China Insight, juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan Bernama di masa depan selain membantu menyumbang kepada komuniti tempatan.

Malaysia-China Insight yang juga milik penuh GTC Group serta boleh diakses melalui aplikasi berita trilingual, adalah akhbar bahasa Inggeris serta majalah dwibahasa Inggeris-China yang khusus memaparkan berita perniagaan terkini berkaitan Malaysia-China. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon