Saarani: Kilang proses mineral dengan kos RM40 juta dibina di SVTP, Perak
08 Mei 2023
Silver Valley Technology Park (SVTP) yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri Perak, akan turut menempatkan kilang pemprosesan mineral ‘Zero Waste Facility’ (kemudahan buangan sifar) dengan kos pembinaan bernilai RM40 juta dan dijangka beroperasi pada 2024.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembukaan kilang pemprosesan syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd yang menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat negeri tersebut, juga menjadi permulaan bagi inisiatif pembangunan di SVTP dan merangkumi usaha pemprosesan mineral secara komprehensif di peringkat pertengahan dan hiliran.
“Kilang tersebut mampu menghasilkan sehingga satu juta tan pasir silika putih setahun; 100,000 tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silikon bagi kegunaan industri tenaga boleh baharu.
“Malah, kilang pemprosesan itu yang juga pertama di rantau ini menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL), dibina di atas tapak berkeluasan 11.88 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan kilang pemprosesan mineral secara BTSL oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan usaha sama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd (Jinjing Silicon) di Chemor dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Jinjing Silicon Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Mengulas selanjutnya, Saarani berkata pelaburan bernilai RM100 juta oleh pihak Jinjing Silicon bagi industri mineral itu turut menjadi momentum baharu dalam membangunkan aktiviti pertengahan dan hiliran serta merevolusikan nilai rantaian secara keseluruhan.
“Kelancaran proses transformasi bahan mentah kepada separuh siap, pengoptimuman logistik dan pengukuhan kapasiti pergudangan yang didorong oleh sumber mineral yang banyak terutamanya silika, dapat menarik pelabur domestik dan antarabangsa.
“Sejajar dengan itu, PKNPk komited untuk menyediakan persekitaran kondusif dan kemudahan terkini, perkhidmatan tambah nilai, sokongan infrastruktur serta kerjasama strategik bersama pemain-pemain utama industri bagi mengangkat Perak ke mercu kemajuan,” katanya.
Selain itu, mengulas penyertaan syarikat teknologi tinggi lain untuk melabur di SVTP, Saarani berkata ini termasuk syarikat besar dari China yang sama ada mahu memperluas pelaburan atau membuka syarikat baharu.
“(Namun) saya tidak boleh senaraikan sekarang ini selagi belum dapat kelulusan rasmi MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” katanya.
Sementara itu, Redza Rafiq berkata antara teknologi baharu diketengahkan oleh Jinjing Silicon adalah penghasilan kaca jenis ultra tipis, telus dan kaca kondusif bertenaga tinggi yang mampu menjimatkan lagi kos pembinaan.
Sumber: Bernama