JETCO cadang perkukuh gerak kerja tarik pelabur teknologi hijau ke Johor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


JETCO cadang perkukuh gerak kerja tarik pelabur teknologi hijau ke Johor

JETCO cadang perkukuh gerak kerja tarik pelabur teknologi hijau ke Johor

11 Mei 2023

Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) bercadang memperkukuhkan lagi gerak kerja berkaitan teknologi hijau dalam usaha menarik lebih ramai pelabur berkaitan industri itu termasuk meningkatkan kerjasama dengan Singapura.

Pengerusinya Datuk Seri Hasni Mohammad berkata ini selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menumpukan kepada isu perubahan iklim dan alam sekitar menjelang 2030.

“Bila kita bercakap soal perubahan iklim dan alam sekitar, Singapura jauh ke hadapan dari segi pembiayaan, perniagaan yang menceburi aspek alam sekitar sama ada dari segi kepakaran dan teknologi.

“Dengan pelaburan yang begitu besar dibuat oleh negara mereka dalam sektor tersebut bagi menangani isu perubahan iklim, Johor sewajarnya juga menjadi kawasan yang patut diberi tumpuan oleh negara jiran Singapura (dalam teknologi hijau),” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Majlis Rumah Terbuka Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman.

Hasni yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata banyak yang boleh dipelajari Johor memandangkan Singapura banyak membuat pelaburan serta memberi penekanan kepada penggunaan teknologi hijau di republik itu.

Dua minggu lepas, Onn Hafiz dalam satu temu bual bersama media Singapura menyatakan hasrat untuk melihat lebih banyak kolaborasi dengan republik itu, antaranya dalam teknologi hijau.

Sementara itu, Hasni yang meninjau Pejabat JETCO di Singapura yang terletak di Centrepoint, Jalan Orchard, semalam, sempat mengatur pertemuan dengan dua syarikat Singapura yang berhasrat membuat pelaburan di Johor.

Beliau berkata pertemuan itu disifatkan sangat penting memandangkan kedua-duanya berhasrat menjadikan negeri ini sebagai pusat pengedaran utama dalam dua bidang berbeza iaitu fesyen serta minyak dan gas.

“Singapura pada hari ini mengetengahkan banyak bakat baharu menceburi bidang fesyen, jadi kalau mereka berhasrat menjadikan johor sebagai pusat pengedaran utama di rantau Asia ini, ia adalah satu peluang yang baik.

Berkaitan minyak dan gas, Hasni berkata, apabila Pengerang mula beroperasi sebagai hab minyak dan gas kelak, pelbagai pendekatan akan dilaksanakan untuk menarik pembekal peralatan berkaitan industri beroperasi di Johor.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon