NEXTDC akan labur RM3 bilion di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NEXTDC akan labur RM3 bilion di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun

NEXTDC akan labur RM3 bilion di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun

08 Jun 2023

NEXTDC Ltd Australia merancang untuk melabur kira-kira RM3 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang melalui pembangunan Kuala Lumpur 1 (KL1), sebuah pusat data diperakui Tahap IV di Petaling Jaya, Selangor.

Pengendali pusat data terkemuka itu dalam satu kenyataan hari ini berkata KL1 memenuhi piawaian industri tertinggi di seluruh dunia dan dijangka menarik penyedia perkhidmatan teknologi global yang mencari keupayaan Tahap IV.

“Malaysia telah dipilih sebagai destinasi pertama untuk operasi syarikat di luar negara dengan pembinaan KL1.

“Syarikat itu juga komited kepada kemahiran digital dan inisiatif pendidikan untuk membantu memperkasakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan tenaga kerja digital di Malaysia untuk memacu kelebihan daya saing Malaysia di Asia,” kata NEXTDC.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan pelaburan baharu NEXTDC itu mencerminkan keyakinan terhadap ekosistem pelaburan dan perniagaan Malaysia.

Beliau berkata pelaburan itu mengesahkan semula reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pelaburan pusat data utama dan kedudukan negara sebagai hab digital pilihan di Asia Tenggara.

“Sebagai komponen sokongan ekonomi digital, inisiatif strategik NEXTDC juga sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu kami yang berhasrat untuk mewujudkan pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif pada masa depan.

“MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk memudahkan kejayaan inisiatif strategik NEXTDC di Malaysia khususnya ke arah membantu kami mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan rantaian bekalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) domestik yang lebih aktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kerajaan akan menyokong penuh kehadiran NEXTDC dan pertumbuhan industri pusat data melalui pelbagai inisiatif di bawah Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

p>“Dengan memperkenalkan kampus pusat data baharu mereka, NEXTDC bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital Malaysia tetapi juga mempercepatkan transformasi digital kami yang sedang berjalan ketika ini.

“Langkah ini mencerminkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi dalam ekosistem pusat data kami yang kukuh dan kumpulan bakat (tenaga kerja) berkemahiran dalam digital dan infrastruktur bertaraf dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri komited sepenuhnya untuk menyokong pelabur berimpak tinggi seperti NEXTDC.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee pula berkata kerjasama ekonomi digital adalah keutamaan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Australia-Malaysia.

“Kemasukan NEXTDC ke Malaysia dan pasaran Asia yang lebih luas adalah pencapaian penting, meningkatkan aspirasi ekonomi digital Malaysia dengan melabur dalam infrastruktur dan kemahiran kritikal untuk menarik syarikat teknologi utama,” katanya.

Ahli Parlimen Australia kelahiran Malaysia Sam Lim berkata kerajaan Australia komited untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan, pelaburan dengan Malaysia serta rantau ini.

“Ini menyediakan pasaran dan peluang baharu yang menarik untuk perniagaan Australia. Saya mengharapkan banyak perniagaan Australia Barat mendapat manfaat menerusi hubungan penting ini.

“Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia yang akan datang pada 2040 akan mengukuhkan penglibatan ekonomi negara dengan Asia Tenggara dan meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya.

Beliau adalah Ahli Parlimen Tangey di Perth, Australia Barat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NEXTDC Craig Scroggie, kemudahan KL1 baharu itu akan menampilkan penanda aras kemampanan terkemuka dunia dan piawaian infrastruktur kritikal.

“Majlis khas ini menandakan permulaan pengembangan serantau NEXTDC di seluruh Asia dan kami teruja dengan sumbangan pelaburan strategik untuk membentuk masa depan infrastruktur digital dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan teknologi di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon