MBI, PETRONAS Gas teroka potensi kerjasama di Terengganu - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MBI, PETRONAS Gas teroka potensi kerjasama di Terengganu

MBI, PETRONAS Gas teroka potensi kerjasama di Terengganu

09 Jun 2023

Mentri Besar, Trengganu (Incorporated) (MBI) dan PETRONAS Gas Bhd (PGB) menjalin kerjasama strategik meneroka potensi berkaitan dengan cadangan pembangunan loji jana kuasa hidro mini dan cadangan pengurusan operasi dan penyenggaraan terminal di Terengganu.

MBI dalam satu kenyataan berkata, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) menandakan langkah awal kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengukuhkan pembangunan ekonomi di negeri itu.

Kedua-dua pihak akan membuat penilaian bersama ke atas kebolehlaksanaan cadangan pembangunan berkenaan.

MBI dan PGB memeterai MoU itu dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata beliau yakin terhadap jalinan kerjasama strategik oleh kedua-dua belah pihak yang selaras dengan pelan dan aspirasi Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, kerjasama itu dijangka akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang yang diberi nama Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.

Sementara itu, MBI berkata, pembangunan loji jana kuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik 9 PITAS 2030 iaitu Pengukuhan Infra, Pemerkasaan Teknologi Hijau dan Pengawalan Impak Bencana.

“Projek itu dilihat sebagai penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi penyelesaian cabaran bekalan elektrik terutamanya bagi kawasan luar bandar yang terpencil,” katanya.

Cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu pula dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.

Jika dapat direalisasikan dengan jayanya, ia bakal membuka ruang pemerkasaan ekonomi bukan sahaja buat organisasi terbabit, tetapi juga buat komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama), anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB) dengan Forest Avenue International (Forest Avenue) untuk meluaskan segmen pengkomersilan kayu siap dibentuk di pasaran.

Kerjasama itu membolehkan Pesama menghasilkan produk yang memberi nilai tambah, manakala Forest Avenue akan memberikan garis panduan kepada Pesama berkaitan spesifikasi produk, kemahiran tenaga kerja dan teknologi serta kerjasama lain dari masa ke masa.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata kerjasama terbaharu itu membolehkan syarikat memperkukuh dan memperluaskan lagi kehadirannya di pasaran antarabangsa terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Beliau berkata, Golden Pharos juga mempunyai pensijilan perkayuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkannya mengeksport produk perkayuan ke luar negara.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon