Malaysia, Singapura akan lonjak perdagangan dua hala dalam ekonomi dan digital - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Singapura akan lonjak perdagangan dua hala dalam ekonomi dan digital

Malaysia, Singapura akan lonjak perdagangan dua hala dalam ekonomi dan digital

15 Jun 2023

Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan satu platform tetap iaitu Dialog Menteri Tahunan (AMD) untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan dua hala terutama dalam kerjasama ekonomi digital dan hijau di samping mengeratkan hubungan antara pegawai kementerian yang sama dari kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong telah mempengerusikan AMD pertama di sini pada Rabu selain menyemak kemajuan di bawah dua kerangka iaitu Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital serta Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Hijau.

“Berdasarkan Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital, kedua-dua menteri mengumumkan satu pasukan petugas baharu untuk meneroka penggalakan perdagangan perniagaan rentas sempadan, memanfaatkan Platform Perdagangan Digital Matrade yang dilancarkan semalam serta inisiatif Perniagaan tanpa Sempadan Singapura,” katanya kepada pemberita selepas AMD pertama antara Malaysia dan Singapura di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pasukan petugas itu akan melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI); Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Pasukan petugas itu akan ditubuhkan secepat mungkin untuk meneliti langkah mempertingkatkan perdagangan digital, katanya.

“Kerjasama digital ini akan mengurangkan kos dan masa untuk perusahaan kecil dan sederhana menjangkau pasaran eksport global selain bersetuju untuk meneroka projek usaha sama rintis dua hala mengenai identiti digital korporat bagi sistem rangkaian nombor pengenalan perniagaan unik Asean dan juga penambahbaikan sistem e-pembayaran rentas sempadan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata mengikut Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Hijau pula, kedua-dua menteri mengalu-alukan kerjasama antara Matrade dan Enterprise Singapore dalam Program Pembangunan Kapasiti untuk Pengeksport, bertujuan menyokong peralihan kemampanan kalangan pengeksport.

“Sebagai sebahagian program ini, akan ada beberapa penglibatan antara perusahaan Singapura dan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan penyelesaian kemampanan, dengan sesi pertama akan menumpukan kerangka pelaporan kemampanan dan pembiayaan hijau, yang dijadualkan diadakan pada Julai 2023,” katanya.

Beliau berkata dalam perbincangan pada masa hadapan, kedua-dua menteri akan merangkumkan cara untuk bekerjasama dengan lebih baik bagi memastikan kekukuhan daya tahan dan keselamatan rantaian bekalan kedua-dua negara.

“Kita berharap dengan pasukan petugas ini dan perancangan yang kita telah persetujui hari ini, kita akan lihat (mempertimbangkan) untuk menaikkan sasaran perdagangan antara kedua-dua negara tetapi, ia bergantung kepada keadaan perdagangan dunia,” katanya.

Malaysia dan Singapura menjadi rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan perdagangan dua hala mencecah AS$83.53 bilion pada 2022, menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 37.6 peratus berbanding dengan AS$64.55 bilion pada 2021.

Selain itu, Singapura juga menjadi antara sumber utama Malaysia bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyumbang 8.3 peratus kepada jumlah FDI Malaysia tahun lepas.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon