F&N labur RM1 bilion bangun ladang tenusu di Gemas - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


F&N labur RM1 bilion bangun ladang tenusu di Gemas

F&N labur RM1 bilion bangun ladang tenusu di Gemas

15 Jun 2023

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) berada di landasan tepat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar susu terbesar di Malaysia dengan menyempurnakan majlis pecah tanah ladang tenusu bersepadu di sini.

Ia juga menandakan penyertaan F&N dalam perniagaan susu segar huluan kerana ladang bersepadu itu mampu mencapai tahap pengeluaran penuh Fasa 1 dengan penghasilan 100 juta liter susu segar membabitkan kos pelaburan sebanyak RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, berkata ladang seluas 2,726 hektar itu akan menempatkan 20,000 ekor lembu susu yang akan menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, barisan pemprosesan dan pembungkusan akan ditempatkan bersebelahan dengan pusat pemerah susu bagi membekalkan susu segar berkualiti pada harga yang berpatutan kepada pengguna Malaysia.

“Ladang ini juga membantu menggalakkan pertumbuhan industri pertanian tempatan dengan memupuk tenaga kerja yang mahir dan menjana peluang pekerjaan dalam industri tenusu dan pertanian,” katanya.

Majlis pecah tanah ladang tenusu bersepadu F&N itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja dan Pengerusi F&N, Tengku Syed Badarudin Jamalullail.

Yew Hoe berkata, mengoperasikan ladang tenusu bersepadu akan menghasilkan integrasi menegak bagi perniagaan dan operasi F&N, serta mengurangkan pergantungan syarikat kepada susu import untuk pengeluaran dan pengagihan hiliran.

Beliau berkata, penyepaduan itu juga membantu mengurangkan kos seliter susu segar dan memberi manfaat kepada pengguna Malaysia.

Katanya, kumpulan juga menyasarkan untuk mengeksport susu segar, dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bersih susu segar pada masa hadapan.

“F&N turut merancang untuk membuka ladang tanaman makanan ternakan di tempat yang sama dan langkah ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran fidlot bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan haiwan yang diimport.

“Malaysia kini mengimport hampir 100 peratus makanan haiwan dari Brazil dan Argentina,” katanya.

Mengulas lannjut, Yew Hoe berkata, tanggungjawab Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) adalah faktor penting untuk ladang itu.

Beliau berkata, dengan mengurangkan keperluan untuk mengimport susu, kumpulan juga akan dapat mengurangkan jejak karbon secara keseluruhan dengan mengurangkan keperluan untuk mengangkut bahan dari luar negara.

“Ladang itu juga akan direka berasaskan amalan perladangan mampan dan ekonomi kitaran dengan menggunakan teknologi hijau dan kecerdasan buatan di sepanjang proses ladang,” katanya.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, pembangunan ladang tenusu bersepadu F&NHmelambangkan pencapaian penting bagi kebergantungan Malaysia terhadap bekalan susu segar dan makanan berasaskan tenusu.

Beliau berkata, selain daripada manfaat ekonomi, projek agri-makanan yang komprehensif akan membantu Malaysia maju ke arah bekalan makanan mampan serta bekalan makanan haiwan.

“Penternakan pintar dalam pengeluaran tenusu telah membuka prospek yang luas untuk merevolusikan segmen perniagaan tani di Malaysia.

“Dengan memanfaatkan teknologi, ia boleh mencipta hasil terbaik dalam penjagaan lembu, pencampuran makanan haiwan, pengurusan kitaran dan produk tenusu yang pelbagai,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon