Dua pelan hala tuju peralihan tenaga akan dilancar tahun ini - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dua pelan hala tuju peralihan tenaga akan dilancar tahun ini

Dua pelan hala tuju peralihan tenaga akan dilancar tahun ini

26 Jun 2023

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang akan menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi bagi mempercepat usaha peralihan tenaga negara disasar dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia sebahagian usaha bagi mencapai sasaran Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC), yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 (NEP 2040).

Dokumen dasar itu, secara strategik akan memeta arah ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada masa akan datang serta meletakkan sektor itu sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosio ekonomi serta Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

“Bagi melaksanakan dasar ini dengan jayanya, sehingga mencapai manfaat penuh daripada kemajuan sosio ekonomi yang penting bagi negara, kerajaan sedang membangunkan beberapa beberapa pelan hala tuju strategik, dengan yang paling penting adalah NETR.

“Ia akan dilengkapkan dengan HETR, yang akan membuka jalan kepada pencapaian kemampanan alam sekitar, keselamatan tenaga jangka panjang di Malaysia, yang dipacu inovasi teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Energy Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab setiap negara terhadap sasaran iklim global secara keseluruhan, Malaysia menyemak semula NDC bagi mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada 45 peratus menjelang 2030, berbanding yang ditetapkan pada 2005.

Selain itu, katanya Malaysia terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam campuran tenaga dan sebagai salah satu daripada hidrokarbon terbakar paling bersih untuk beralih ke arah ekonomi karbon rendah.

Pada masa sama, Anwar berkata negara juga menyedari kepentingan menguruskan pelepasan metana sebagai gas rumah hijau yang sangat berkesan dan mengurangkan pelepasan gas itu sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Industri kita yang berpengalaman juga menawarkan beberapa pendekatan semula jadi kepada yang boleh diperbaharui dan ekonomi karbon yang lebih rendah.

“Sebagai pengeluar tradisional gas asli dan gas asli cecair (LNG), hidrogen adalah langkah semula jadi seterusnya dalam rantaian nilai dan menawarkan laluan berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya,” katanya.

Bagi membangunkan keupayaan tenaga kerja tempatan, terutama belia, Perdana Menteri berkata Malaysia melaksanakan pelbagai program, termasuk menyokong program latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) bagi melengkapkan modal insan dengan kemahiran diperlukan.

“Usaha dan inisiatif ini akan membuka lebih banyak potensi kepada ekonomi Malaysia, peluang kepada pertumbuhan untuk semua, sejajar dengan rangka kerja Malaysia Madani,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon