Empat negeri atasi prestasi ekonomi nasional
27 Jun 2023
Empat negeri mengatasi pertumbuhan ekonomi 8.7 peratus di peringkat nasional pada 2022 iaitu Pulau Pinang (13.1 peratus), Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Kuala Lumpur (9.2 peratus).
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan memaklumkan, prestasi ekonomi Pulau Pinang yang memberangsangkan dipacu oleh sektor pembuatan yang menjadi pemacu utama ekonomi negeri itu berkembang kukuh.
Ia berkata, pengembangan ini disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal ekoran daripada peningkatan permintaan semikonduktor di peringkat global.
“Manakala bagi Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur, pemacu ekonomi negeri-negeri terbabit adalah sektor perkhidmatan yang bertumbuh pesat didorong oleh industri berkait pelancongan iaitu subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan.
“Selangor, juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi negara apabila sektor pembuatannya turut mengukuh sembilan peratus disokong produk elektrik, elektronik dan optikal (13.6 peratus) serta peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (16.6 peratus),” katanya.
Dari perspektif prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, semua negeri mencatatkan peningkatan berbanding 2021.
Lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM127,199), Labuan (RM85,560), Sarawak (RM80,857), Pulau Pinang (RM69,684) dan Selangor (RM59,908).
Menurut DOSM, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan makanan, Malaysia terus berada pada trajektorinya apabila semua sektor berkembang positif berbanding tahun sebelumnya.
Ia berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa negara pada 1 April 2022 telah mempercepat pemulihan prestasi semua sektor ekonomi khasnya industri berkaitan pelancongan.
Katanya, prestasi ini dapat dimanifestasikan melalui pertumbuhan KDMK sebanyak 8.7 peratus pada 2022 dengan nilai ditambah berjumlah RM1.5 trilion, sekali gus melepasi nilai KDNK prapandemik pada 2019 iaitu RM1.4 trilion.
“Sektor perkhidmatan yang mendominasi ekonomi negara mengukuh 10.9 peratus berbanding 2021, diikuti oleh sektor pembuatan yang meningkat 8.1 peratus.
“Pada tempoh sama, sektor pertanian memulih 0.1 peratus, sektor perlombongan & pengkuarian bertumbuh 2.6 peratus manakala sektor pembinaan melantun kepada lima peratus,” katanya.
Mengenai tinjauan, DOSM merumuskan bahawa, prospek ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang sederhana dengan mengambil kira ketidaktentuan landskap ekonomi global.
Ia berkata, Indeks Pelopor bagi April 2023 turut menggambarkan prestasi ekonomi akan bertumbuh perlahan pada beberapa bulan ke hadapan disebabkan oleh penurunan dalam semua komponen indeks berkenaan.
Katanya, ini dapat dilihat melalui KDNK suku pertama tahun 2023 yang turut menunjukkan pertumbuhan perlahan 5.6 peratus berbanding 7.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, pasaran buruh sebaliknya terus mengukuh dengan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh daripada 69.5 peratus pada suku keempat tahun 2022 kepada 69.8 peratus suku pertama 2023.
“Kadar pengangguran juga menyusut kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.
Sumber: Berita Harian