96% syarikat Jepun mahu kekal di Malaysia, kata PM - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


96% syarikat Jepun mahu kekal di Malaysia, kata PM

96% syarikat Jepun mahu kekal di Malaysia, kata PM

06 Jul 2023

Sebanyak 96% syarikat Jepun mahu terus kekal di Malaysia, dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di negara ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata statistik itu berdasarkan tinjauan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan kadar pengembangan itu lebih tinggi daripada purata bagi Asean dan kedua tertinggi di rantau ini.

“Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik kukuh yang kini masuk tahun ke-65 dan Jepun antara rakan dagang terpenting serta keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada 2022.

“Jepun juga disenaraikan salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tahun lepas, katanya, sebanyak 2,746 projek dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai USD27.25 bilion (RM91.14 bilion) dan 336,326 peluang pekerjaan diwujudkan, manakala tahun ini Malaysia memperoleh komitmen pelaburan dari Jepun sebanyak RM23 bilion.

Justeru, Anwar berkata, penting untuk Malaysia terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih ramai pelabur asing ke negara ini kerana peningkatan FDI berterusan bukti keyakinan pelabur asing kian pulih terhadap kemajuan serta potensi ekonomi negara.

Anwar mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko bersama delegasi daripada Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (Jactim) di Kementerian Kewangan semalam.

Sementara itu, katanya, beberapa tahun kebelakangan ini, aliran masuk FDI terus meningkat tatkala negara menyaksikan pelaburan masuk yang diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama tahun ini, lantas menjadikannya lonjakan ketara, iaitu sebanyak 60% berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Asas ekonomi kita terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi rendah serta landskap politik semakin stabil. Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat. Kerajaan juga berkomitmen tegas membangunkan industri baharu seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.

“Saya amat yakin dengan prestasi masa depan pelaburan di Malaysia yang pastinya akan terus rancak. Kerajaan akan terus berusaha sebaiknya dalam memperkukuh iklim pelaburan lebih baik dan kerajaan juga sedang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menarik pelaburan bernilai dan berdampak tinggi serta mencipta tenaga kerja tempatan memiliki nilai daya saing.”

Usaha itu, katanya, sejajar objektif Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan bakal dicerakinkan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang akan dilancarkan bulan depan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon