Tanjung Agas sedia terima kumpulan pelabur baru - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tanjung Agas sedia terima kumpulan pelabur baru

Tanjung Agas sedia terima kumpulan pelabur baru

27 Jul 2023

Selepas dilancarkan kira-kira 10 tahun lalu, projek Taman Industri Maritim Tanjung Agas, dekat Pekan, dijangka menerima kumpulan pelabur baru bagi memajukan industri minyak dan gas di situ.

Ketika dilancarkan pada Dis 2010 oleh Najib Razak – yang ketika itu menjadi perdana menteri – projek pembinaan taman industri minyak, gas dan lojistik melalui inisiatif Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECERDC) itu menerima peruntukan awal berjumlah RM300 juta.

Ia adalah bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan mempercepat pembangunan sektor minyak dan gas di kawasan seluas 1,710 hektar itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang, Mohamad Nizar Najib, berkata kumpulan pelabur dari China adalah antara pihak yang menunjukkan minat untuk terbabit dalam pembangunan di Tanjung Agas.

“Mungkin ada kumpulan pelabur mengambil kira kemudahan dan pelan (pembangunan) diperlukan jika mereka ingin ke Tanjung Agas.

“Macam spesifikasi yang mereka perlukan atau susun atur yang mereka nak di Tanjung Agas serta perancangan industri yang mereka mahu jika nak masuk (melabur) di sini.

“Antara yang menunjukkan minat adalah (pelabur) dari China dan ada juga dari Eropah, jadi saya harap ia boleh dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis jerawaraya perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas Pantai Timur 2023 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya projek terbabit menjadi ‘gajah putih’ Mohamad Nizar yang juga Adun Peramu Jaya menafikan perkara itu.

Katanya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sentiasa berusaha mencari pelabur baru untuk projek berkenaan.

“Cuma dalam keadaan (ekonomi) semasa, saingan berlaku dan bukan hanya di sini (Tanjung Agas) sahaja,” katanya lagi.

Mohamad Nizar juga berpendapat kerajaan akan mengekalkan insentif sedia ada bagi menarik pelaburan asing ke negara ini, termasuk ke Pahang.

“Kita perlu kekalkan insentif dan ini berkaitan dengan Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan pihak ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur), tawarkan insentif cukai pelaburan.

“Selain itu, kerajaan Pahang juga sedang berurusan dengan syarikat profesional, konsultan percukaian untuk melihat apa kelebihan yang boleh ditawarkan kepada pelabur berbanding tempat lain,” katanya lagi.

Mohamad Nizar turut mempelawa pelabur yang berminat terutamanya berkait industri minyak dan gas untuk segera membuat keputusan dan tidak menunggu projek lapangan terbang antarabangsa yang dijangka siap pada 2026.

“Pahang dah ada pelabuhan dan tidak lama lagi projek ECRL (Rangkaian Rel Pantai Timur) siap, ketika itu nilai tanah di sini sudah meningkat, jadi kalau nak melabur, datang sekarang,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon