Syarikat Dari AS Dipelawa Teroka Peluang Pelaburan Baharu Di Perlis
07 Ogo 2023
Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa syarikat dari Amerika Syarikat (AS), khususnya yang sudah memiliki industri atau kilang di Malaysia, meneroka peluang pelaburan baharu disediakan di negeri Perlis.
Baginda bertitah demikian, menerusi kenyataan media dikeluarkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan ‘Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs’ kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, AS, semalam.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM5,000 itu kepada Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.
Tabung Ibnu Sabil disumbangkan oleh MAIPs kepada beberapa Pejabat Perwakilan negara di luar negara terpilih bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan saradiri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Hadir sama, Naib Presiden Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Los Angeles, Akbal Setia; dan Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Irvin Francis.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Anil Fahriza dalam ucapan beliau mempersembah maklumkan kepada Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda bahawa Perlis salah satu negeri yang mendapat manfaat pelaburan berdasarkan kedudukan strategik berhampiran sempadan Thailand, kekuatan sektor agrikultur serta pembangunan logistik yang menyeluruh.
Beliau berkata, ‘Kewujudan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang sedang dibangunkan akan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negeri Perlis, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta berteknologi tinggi.
“Antara syarikat dari Amerika Syarikat yang melabur di Perlis adalah Jabil (elektrikal & elektronik), Mediquip – dimiliki oleh Cardinal Health (sarung tangan getah serta peralatan kesihatan) dan Iriichi – syarikat usahasama di antara Iriichi Technology dan Sojitz America (elektrikal & elektronik),” kata Anil Fahriza.
Menurutnya lagi, sektor disasar seperti industri hijau, tenaga boleh baharu serta industri halal adalah selari dengan pendekatan dibawa pentadbiran AS yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi bersih dan hijau.
“AS adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2022, AS menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah AS$60.71 (RM267.59 bilion), peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun 2021.
“Eksport ke AS mencatatkan rekod tertinggi dengan perkembangan 10.6 peratus kepada AS$37.96 bilion (RM167.16 bilion) manakala import daripada AS mencatatkan perkembangan 26.2 peratus kepada AS$22.75 bilion (RM100.42 bilion),” katanya.
Sumber: Bernama