NIMP 2030 gariskan idea pacu masa depan perindustrian negara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


NIMP 2030 gariskan idea pacu masa depan perindustrian negara

NIMP 2030 gariskan idea pacu masa depan perindustrian negara

27 Ogo 2023

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir bulan ini bakal menggariskan antara lainnya idea bagi memacu masa depan sektor perindustrian negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata ia sekali gus akan membawa kesan terhadap pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor itu di negara ini.

“Minggu depan Perdana Menteri akan lancar dan bentangkan NIMP 2030, saya harap ia dapat memberikan maklumat serta menggariskan idea berkenaan masa depan industri ini, sekali gus menarik DDI dan FDI,” katanya selepas merasmikan ruangan pejabat Infinity8 Reserve Mid Valley Southkey, di sini, hari ini.

NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan Malaysia.

Mengenai Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) MITI dan agensi di bawahnya turut membabitkan DDI, beliau berkata, ia antara tumpuan Perdana Menteri bagi mengimbangi dan mengurangkan kebergantungan negara kepada FDI untuk menjana pelaburan negara.

“MITI menyambut baik (keputusan itu) dan saya bersama Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju supaya DDI turut diberikan tumpuan,” katanya.

Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat MPN baru-baru ini dilapor berkata, kerajaan menetapkan DDI sebagai antara KPI bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi menarik lebih banyak FDI. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon