Pulau Pinang bakal jadi Hab pelancongan perubatan bertaraf dunia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang bakal jadi Hab pelancongan perubatan bertaraf dunia

Pulau Pinang bakal jadi Hab pelancongan perubatan bertaraf dunia

11 Ogo 2023

Pulau Pinang antara pusat peranginan di Malaysia yang dilimpahi pakej lengkap dalam memikat pelancong terutama dari segi kepelbagaian destinasi menarik, penginapan dan perniagaan.

Pulau Mutiara ini juga dikenali sebagai hab pelancongan perubatan terbesar di Asia Tenggara apabila menyaksikan peningkatan jumlah pendapatan daripada RM68 juta pada 2021 kepada RM285 juta tahun lepas, dengan pelancong Indonesia menjadi penyumbang terbesar diikuti Bangladesh dan India.

Memiliki populasi 1.63 juta orang, negeri itu bakal mewujudkan sebuah bandar perubatan dan hab pembangunan bercampur yang dikenali sebagai “Meditech City” di Bandar Cassia, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan sekali gus menembus pasaran antarabangsa dalam sektor pelancongan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, berkata bandar perubatan itu akan dibangunkan dengan kerjasama Fajarbaru Builder Group Bhd bersama pemain industri lain dalam tempoh 10 tahun dengan kos pelaburan RM11 bilion dan menjana nilai pembangunan kasar sekitar RM13 bilion.

“Ia merupakan satu projek pemangkin kepada pembangunan Bandar Cassia dan Pulau Pinang amnya. Meditech City ini mengandungi komponen pembangunan utama berkaitan perubatan seperti hospital pakar, hospital awam dan lain-lain komponen bersandarkan perubatan seperti pusat rehabilitasi, makmal serta pusat pendidikan.

“Ada juga kemudahan sokongan seperti perumahan, elemen logistik yang berkaitaan dengan perubatan dan pelancong. Ia akan menjadi satu pelancongan perubatan yang menarik di Pulau Pinang apabila siap kelak,” katanya.

Berkeluasan kira-kira 93 hektar, hab perubatan yang menggunakan contoh model bandar perubatan di Dubai itu dijangka mampu mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan berikutan permintaan untuk sektor kesihatan agak tinggi di negeri ini.

Aziz juga yakin Meditech City tersebut berpotensi menarik pelancong perubatan termasuk dari negara maju selain rantau ini kerana akan mempunyai kemudahan teknologi tinggi dengan minimum 1,000 katil pesakit di bandar baharu itu.

“Saya nampak jika berlaku ia akan menjadi satu daripada Meditech City terbaik di dunia, kita bukan bercakap mengenai rantau ini tapi dunia. Alhamdulillah, dari United Kingdom mereka menunjukkan minat kerana mereka lihat ekosistem yang dekat dengan Lapangan Terbang Bayan Lepas,” katanya.

Selain itu, Pulau Pinang juga sedang membangunkan Projek Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) By The Sea di Bayan Lepas dalam usaha mencapai taraf “Bandar Global” bagi membolehkan syarikat multinasional atau organisasi besar memusatkan operasi serta aktiviti perniagaan seperti kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat (IT) dan pemerolehan untuk menyediakan perkhidmatan bersama.

Aziz menjelaskan projek yang meliputi bangunan sembilan tingkat dengan pelaburan RM190 juta dan dijangka siap pada Ogos 2024 itu, telah mendapat penyewa bagi memenuhi 70 peratus bangunan itu setakat ini.

Pembinaan Meditech City dan Projek GBS By The Sea bernilai RM100 juta itu, adalah komitmen kerajaan negeri seperti yang digariskan dalam Manifesto Perpaduan dengan kutipan fi kesihatan perubatan ke atas warga asing akan dimasukkan ke dalam Tabung Pembangunan Sosial Negeri yang ditubuhkan bagi memanfaatkan golongan memerlukan di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Berhad, Nadiah Wan menyifatkan Meditech City sebagai pemangkin bagi meningkatkan kewibawaan Pulau Pinang dalam sektor penjagaan kesihatan, dan mengakui projek itu sebagai inisiatif berwawasan oleh kerajaan.

Ditubuhkan pada 2009, beliau berkata TMC Fertility Centre di Pulau Pinang menjadi hab bagi pesakit dan pelawat luar terutama dari Indonesia.

“Dengan ini, kami mengalu-alukan peluang untuk memperluas perkhidmatan. Inisiatif ini tiba tepat pada masanya apabila permintaan terhadap perkhidmatan perubatan khusus, terutama dalam bidang kesuburan dan kesihatan wanita semakin meningkat,” katanya.

Nadiah turut menekankan komitmen TMC Life Sciences bagi memupuk kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam penjagaan kesihatan daripada sektor awam dan swasta, selain percaya usaha kolektif boleh membawa perubahan terhadap bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan di rantau ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon