Anwar cadang tingkatkan hubungan ekonomi dengan AS menerusi tumpuan perdagangan, pelaburan
06 Sep 2023
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerjasama selanjutnya dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi tumpuan terhadap kerjasama ekonomi yang lebih mendalam melalui perjanjian kerangka pelaburan dan perdagangan serta libat urus ekonomi yang meluas.
Beliau menegaskan pentingnya menyokong pelaburan langsung asing, mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana ke peringkat antarabangsa, mempromosi pertumbuhan hijau untuk kemampanan iklim dan memastikan penggunaan sumber yang cekap dan keterjaminan makanan.
Cadangan Perdana Menteri dikemukakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-11 di sini, dihadiri Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris dan dipimpin Presiden Indonesia Joko Widodo.
Dalam dunia digitalisasi, beliau menggalakkan AS supaya bekerjasama dengan ASEAN untuk memajukan transformasi digital di rantau ini, meliputi kesalinghubungan infrastruktur digital, 5G selain daripada peraturan dan dasar data digital.
Mengenai tenaga, Anwar berkata ASEAN menyasarkan untuk menjana 23 peratus tenaga primer daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 dan berusaha mendapatkan sokongan daripada AS untuk mencapai sasaran itu.
Malaysia juga menyambut baik Perkongsian Strategik Komprehensif AS , terutamanya ucapan pemimpin di sidang kemuncak itu untuk memajukan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik semasa sidang kemuncak ini.
“Ini adalah amat penting untuk negara-negara yang komited kepada prinsip demokrasi dan kebertanggungjawapan,” katanya.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada yang dihadiri Justin Trudeau, Anwar berkata: “Kanada merupakan rakan yang sangat boleh diharapkan,” dan menyatakan Trudeau sememangnya amat peka terhadap pendirian ASEAN, seiring dengan rakan sekutunya dari Barat.
“Justeru kami berminat untuk kerjasama selanjutnya dalam bidang ini, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dan isu perubahan iklim,” katanya.
Sumber: Bernama