Strategi ekonomi Asia Tenggara Australia: Empat sektor pertumbuhan berpotensi dengan Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Strategi ekonomi Asia Tenggara Australia: Empat sektor pertumbuhan berpotensi dengan Malaysia

Strategi ekonomi Asia Tenggara Australia: Empat sektor pertumbuhan berpotensi dengan Malaysia

06 Sep 2023

Australia telah mengenal pasti empat sektor utama yang berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dengan Malaysia di bawah “Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040” yang baharu dilancarkan.

Ia adalah pertanian dan makanan, sumber, pendidikan dan kemahiran, dan ekonomi digital.

Menurut pelan tindakan itu, bidang kerjasama masa depan dalam sektor pertanian dan makanan termasuk sistem kawalan makanan, perdagangan makanan, dan peluang untuk perniagaan tani.

Pada masa ini, Australia menyediakan sebahagian besar produk makanan kepada Malaysia, termasuk anggaran 10 peratus daripada produk tenusu Malaysia, satu perempat daripada daging import dan dua pertiga daripada gandum import.

Dalam sektor sumber, ia menyatakan bahawa Australia berminat untuk terus menyokong pelan peralihan tenaga Malaysia melalui memperkukuh perkongsian peringkat institusi dan meluaskan bantuan teknikal mengenai penyahkarbonan, dan pembiayaan infrastruktur antara lain.

Ia menambah bahawa pada 2022, gas asli, tembaga dan arang batu merupakan antara enam barangan eksport tertinggi Australia ke Malaysia.

Strategi itu juga menggariskan komitmen Australia untuk meningkatkan kerjasama dalam ekonomi digital dengan Malaysia bagi menyokong cita-cita negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Australia dan Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman Australia-Malaysia Tech Exchange mengenai kerjasama digital pada 2020 untuk meningkatkan kerjasama digital, mengurangkan halangan kepada perdagangan digital dan mempromosikan peraturan perdagangan digital terbuka.

Ia juga berharap untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia untuk memasukkan peruntukan baharu dan kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau.

Dalam pendidikan, Australia dan Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dalam pendidikan dan latihan vokasional, penyampaian pendidikan tinggi dalam talian dan jaminan kualiti, pengiktirafan kelayakan dan kerjasama penyelidikan.

Ini akan memberi peluang lebih lanjut kepada penyedia pendidikan Australia.

Australia adalah antara destinasi pendidikan pilihan utama untuk rakyat Malaysia.

Sebelum 2020, terdapat lebih 24,000 rakyat Malaysia belajar setiap tahun di Australia manakala terdapat 15,420 pelajar Malaysia di Australia setakat 2022.

Australia ialah rakan dagangan barangan ketujuh terbesar Malaysia dan Malaysia ialah rakan dagangan barangan dan perkhidmatan kelapan terbesar Australia.

Pada 2022, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai AUD$33.5 bilion (US$21.4 bilion), manakala pelaburan dua hala berjumlah AUD$30 bilion (US$19.15 bilion).

Strategi itu dilancarkan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Forum Indo-Pasifik ASEAN, yang diadakan di Jakarta, hari ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Dibangunkan oleh Duta Khas Australia untuk Asia Tenggara Nicholas Moore AO, ia menetapkan laluan praktikal untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala negara dengan rantau ini, termasuk 75 cadangan untuk mengembangkan perkongsian dengan negara Asia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon