Produk Wondaleaf Sarawak terima pelaburan RM30 Juta
07 Sep 2023
Syarikat peranti perubatan yang berpangkalan di Sarawak, Twin Catalyst Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) pelesenan dan pemindahan teknologi dengan Savewo International Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong yang mengkhusus dalam peralatan perlindungan kesihatan.
Dalam satu kenyataan, Twin Catalyst berkata MoU itu akan melibatkan pelaburan bernilai lebih RM30 juta untuk melesenkan dan mengeluarkan produk jenama runcitnya, Wondaleaf, serta mengedarkannya ke seluruh dunia.
Melalui kerjasama itu, Twin Catalyst menjangkakan produk Wondaleaf akan dipasarkan di Taiwan, Hong Kong, Eropah, Sri Lanka dan tempat lain menjelang tahun depan, sementara menunggu penilaian keselamatan oleh pihak berkuasa, katanya.
“Banyak usaha dilakukan untuk membawa produk perubatan baharu yang berisiko tinggi ke pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Twin Catalyst Dr John Tang pada majlis menandatangani MoU itu baru-baru ini di Beijing, China.
Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, setiausaha tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Azmi Bujang dan pengurus besar Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak Peter Morin Nissom.
Awang Tengah berkata bahawa pelaburan itu akan mewakili inovasi perubatan dan industri pembuatan Sarawak yang semakin berkembang dan memperlihatkan usaha kerajaan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana dalam memperkenalkan produk tempatan kepada dunia.
Nissom dalam pada itu berkata perjanjian itu memperlihatkan potensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sarawak.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengurus Besar Savewo Harry Wong menyatakan bahawa syarikat itu berminat untuk melabur lebih banyak dalam teknologi dan syarikat dari Sarawak.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Twin Catalyst kerana visinya untuk membantu orang lain melalui teknologi inovatif adalah serupa dengan kami,” katanya.
Twin Catalyst mendapat sokongan Cradle Fund dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menjalankan ujian klinikal dan penyerahan harta intelek.
Ia turut dibiayai oleh Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia untuk terus menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengkomersilan di seluruh dunia.
Sumber: Bernama