ATS jangka capai kapasiti pengeluaran 2.6 bilion keping sarung tangan setahun - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ATS jangka capai kapasiti pengeluaran 2.6 bilion keping sarung tangan setahun

ATS jangka capai kapasiti pengeluaran 2.6 bilion keping sarung tangan setahun

28 Dis 2020

AT Systematization Bhd (ATS) menjangkakan dapat mencapai kapasiti pengeluaran sehingga 2.6 bilion keping sarung tangan nitril gred perubatan setahun mulai Jun 2021, selepas perasmian kilang pembuatan sarung tangannya di Chemor, Perak hari ini.

Pengarah Urusan, Choong Lee Aun berkata pengembangan ini membuktikan komitmen syarikat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan sekali gus meletakkan ATS pada kedudukan kukuh dalam memenuhi permintaan sarung tangan yang pesat di peringkat global.

“Kami gembira dengan kadar pantas kemajuan untuk pengoperasian kemudahan kami. Ini menunjukkan kami komited dalam memenuhi permintaan sarung tangan bagi menampung kekurangan bekalan dalam keadaan berlakunya pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ATS, penyedia penyelesaian automasi, mengambil masa empat bulan lebih untuk membangunkan kilang itu dengan kemampuan pembuatan canggih.

Menurut syarikat itu, peserta baharu dalam perniagaan sarung tangan lazimnya memerlukan masa setahun untuk menyiapkan kemudahan pembuatan mereka.

Kilang sarung tangan itu akan dipastikan ‘sedia untuk masa depan’ bagi ekosistem Revolusi Perindustrian 4.0, dilengkapi dengan sistem pelaksanaan pembuatan untuk menyediakan pemantauan dan kawalan pengeluaran; kawalan dan pemantauan keluaran, serta penyimpanan rekod untuk mematuhi peraturan piawaian.

Penyiapan barisan satu bagi pengeluaran di kilang itu juga adalah sejajar dengan jalur masa yang dijangkakan syarikat yang dibuat awal tahun ini.

“ATS menyasar untuk menyaksikan pengoperasian barisan kedua dalam beberapa minggu akan datang selain memulakan kerja fasa kedua kilang ini,” katanya.

Syarikat ini juga merancang untuk memanfaatkan pasaran eksport terutama selepas produknya memperoleh pensijilan tanda CE baru-baru ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon