Sinar harapan di sebalik 2020 yang penuh duka
26 Dis 2020
Masih ada sinar harapan untuk rakyat walaupun hampir tiga perempat daripada tahun ini yang penuh duka, dihabiskan dengan menghadapi pandemik COVID-19.
Tahun ini pastinya diingati apabila rakyat Malaysia pada tempoh tertentu hanya dibenarkan melakukan perjalanan dalam radius 10 kilometer, pusat beli-belah dan restoran ditutup, larangan ke luar negara dan kehidupan yang tidak menentu ini dijangka berterusan sehingga 2021.
Dengan sekatan bersosial dan pengenalan penjarakan fizikal berikutan pandemik itu, banyak penyelarasan dilakukan bagi menerapkan norma baharu dalam kehidupan seharian rakyat, ini termasuk mengadakan kelas, mesyuarat, seminar, persidangan dan bekerja secara dalam talian.
Nama-nama seperti Zoom, Skype dan Google Meet sudah menjadi istilah biasa, manakala pensanitasi tangan dan pelitup muka merupakan keperluan sama pentingnya seperti baju dan seluar.
Penggunaan telefon pintar juga dilihat sesuatu yang biasa kerana setiap kali memasuki mana-mana premis, anda perlu mengimbas kod bar menggunakan peranti itu selain membeli-belah secara dalam talian juga menjadi pilihan pada masa kini.
Sebutlah apa sahaja yang anda mahu tetapi 2020 akan mendorong rakyat menyesuaikan diri dengan Revolusi Industri 4.0.
Selain itu, tahun ini juga menyaksikan penyelarasan dilakukan terhadap cara rakyat Malaysia menyambut musim perayaan, menghadiri majlis keagamaan dan perkahwinan.
Selain sambutan Tahun Baharu Cina Januari lepas dan Aidiladha pada Julai, perayaan lain ‘terperangkap’ dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan antaranya larangan ‘balik kampung’ dan kunjungan dari rumah ke rumah.
Bagi umat Islam, bilangan jemaah untuk menunaikan solat berjemaah dan Jumaat di masjid serta surau dihadkan selain jarak fizikal antara satu sama lain turut dipantau, begitu juga dengan majlis perkahwinan.
Kesemua sekatan ini bukan hanya menjejaskan kehidupan sosial, tetapi memberi kesan kepada ekonomi sehingga beberapa syarikat kecil dan sederhana terpaksa ditutup malah, syarikat gergasi dan besar pula memberhentikan pekerja mereka menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 14 Julai, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun ini, melibatkan 826,100 penganggur.
Angka itu bukanlah satu pembohongan.
Menjelang akhir tahun, kita boleh mendengar kisah seperti mak cik Mary yang hilang kerja sebagai tukang cuci dan beralih kepada menjual nasi lemak manakala bekas juruterbang Kapten Azrin pula mengusahakan gerai makan.
Memahami kesusahan yang dihadapi rakyat, kerajaan antara lain telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang memberikan bantuan wang tunai dan Program Subsidi Upah (PSU) bertujuan membantu majikan mengekalkan perniagaan dan pekerja mereka, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 12 Nov berkata sejumlah RM12.16 bilion dalam PSU telah diluluskan setakat 30 Okt yang memanfaatkan lebih 322,284 majikan dan 2.639 juta pekerja.
Bagi BPN 2.0 pula, sehingga 3 Nov sebanyak RM4.5 bilion telah disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima, termasuk tujuh juta daripada kategori B40 dan 2.86 juta daripada kategori M40, katanya.
Kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang menyaksikan antara lain sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk menyediakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mengurangkan masalah pengangguran di negara ini.
Sumber: Bernama