DPMM Labuan akan main peranan penting dalam pembangunan ekonomi tempatan
09 Jan 2021
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bahagian Labuan akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi wilayah persekutuan itu dengan kerjasama erat bersama pihak berkuasa tempatan dan dewan perniagaan lain.
Presiden DPMM Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata organisasi ini berpotensi untuk menjadikan sektor swasta enjin pertumbuhan pulau bebas cukai itu.
“DPMM Labuan, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan dewan perniagaan lain boleh memainkan peranan penting dalam membangun dan mengembangkan peranan sektor swasta, bukan hanya dalam ekonomi tetapi juga dalam tadbir urus lebih meluas di pulau ini,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat jawatankuasa keahlian negeri DPMM Labuan, di sini, hari ini.
Beliau berkata Labuan perlu mengekalkan daya saingnya sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia dan hab minyak dan gas serantau agar ia tidak ketinggalan.
“Justeru, DPMM Labuan sebagai sebuah dewan perniagaan perlu memainkan peranan penting untuk membantu membentuk ekonomi Labuan, membangunkan aktiviti perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan…ini akan menjadi tumpuan kami bagi tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Suhaili yang merupakan bekas Ahli Parlimen Labuan berkata dewan perniagaan bukan sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan, keamanan dan kemakmuran, tetapi juga membangunkan ekosistem keusahawanan inklusif.
“Saya percaya..kita perlukan dewan perniagaan yang diterajui oleh lelaki dan wanita yang berkebolehan dengan visi dan integriti,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga persatuan yang diterajui pemimpin dengan visi dan mereka mempelawa orang lain yang memiliki pelbagai kemahiran untuk membantu mereka mengembangkan persatuan mereka dan mereka berani untuk menerima perubahan dinamik dalam dunia hari ini.
“Para pemimpin ini menghargai sumbangan kakitangan mereka. Daripada menggunakan platform untuk mempromosikan diri mereka sendiri, mereka sebaliknya melabur dalam pekerja yang boleh memperjuangkan usaha sektor swasta,” katanya.
Sumber: Bernama