Makanan halal akan jadi teras pertumbuhan baharu F&N - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Makanan halal akan jadi teras pertumbuhan baharu F&N

Makanan halal akan jadi teras pertumbuhan baharu F&N

19 Jan 2021

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) kini bersedia menjadikan makanan halal sebagai teras pertumbuhan baharunya susulan pembelian ke atas tiga firma makanan dan minuman bernilai RM60 juta.

Tiga firma itu ialah Sri Nona Food Industries Sdn Bhd, Sri Nona Industries Sdn Bhd dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn Bhd.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, F&N menjelaskan pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat menambah jenama makanan isi rumah Malaysia yang kukuh ke dalam portfolio jenama terkemukanya.

Pemegang saham F&N menyokong strategi itu yang dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-59 F&N secara maya hari ini, dalam usaha merealisasikan matlamat untuk menjadi syarikat makanan dan minuman sepenuhnya yang terkemuka di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata pihaknya sentiasa meneroka cara untuk membentuk semula perniagaan menerusi pertumbuhan organik dan sinergi perniagaan bagi memastikan masa depan yang lebih mampan.

“Pelaburan terbaru itu akan berperanan sebagai platform untuk kami berkembang ke dalam segmen makanan halal yang lebih banyak di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap cara mudah serta produk sedia untuk dimakan.

“Berlandaskan kemampuan penyelidikan dan pembangunan kami yang kukuh, kami yakin pembelian baharu itu akan membantu mengembangkan kategori makanan halal kami, memperkenalkan lebih banyak produk inovatif serta meningkatkan margin keuntungan bagi jangka panjang,” katanya semasa AGM itu.

Mengenai sekatan pergerakan dan perubahan tingkah laku pembelian dalam kalangan pengguna, F&N telah menambah baik operasi e-dagangnya pada 2020.

Lim berkata baru-baru ini pihaknya membuka pusat pemenuhan F&N Life di sini yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk pengguna selain pilihan ambil sendiri dan penghantaran ekspres pada hari berikutnya bagi pembeli dalam talian.

Pada tahun kewangan berakhir pada 30 Sept, 2020, syarikat ini mencatatkan pencapaian berdaya tahan dengan prestasi lebih kukuh pada suku pertama serta pemulihan pada suku keempat selain eksport yang kukuh.

Perolehan sebanyak RM3.99 bilion bagi tahun kewangan 2020 manakala keuntungan selepas cukai kekal pada RM410.1 juta, walaupun pandemik COVID-19 dan tekanan harga komoditi.

Sektor makanan dan minuman Thailand terus memberikan sumbangan besar walaupun menghadapi kesan COVID-19 dan pengisytiharan darurat, dengan menyumbang 70 peratus kepada keuntungan syarikat pada tahun kewangan 2020.

F&N yakin perniagaannya di Thailand akan terus menunjukkan prestasi berdaya tahan dan cekap pada tahun kewangan 2021 untuk menyokong strategi syarikat dalam melangkah maju.

Lim berkata syarikat turut mengambil langkah untuk mengekalkan pertumbuhan menerusi pelaburan dalam pelbagai inisiatif bagi menggalakkan inovasi dan kemampanan perniagaan.

F&N turut memperuntukkan RM30 juta untuk membiayai program tenaga boleh diperbaharu termasuk projek bumbung solar 10MWp di kilang Shah Alam, Pulau Indah dan Bentong.

Selain itu, tiga projek perbelanjaan modal yang sedang dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya pada tahun kewangan 2021.

Projek itu ialah gudang bersepadu bernilai RM182 juta di Shah Alam yang dilengkapi dengan sistem dapatan semula penyimpanan automatik (ASRS); pusat pengedaran serantau berkeluasan 20,000 meter persegi di Rojana, Thailand, yang akan dilengkapi dengan ASRS bernilai RM40 juta; serta gudang dan barisan pengeluaran air minuman 200 botol seminit bernilai RM20 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.

Mengenai unjuran F&N bagi tahun kewangan 2021, Lim berkata pihaknya kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan domestik dan global akibat COVID-19.

“Memandangkan kita kini memasuki satu lagi tahun yang mencabar, pengetahuan, kemahiran, kepakaran, sumber dan komitmen akan terus mengemudi kami untuk mencapai matlamat dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Pada AGM hari ini, pemegang saham meluluskan dividen satu peringkat akhir sebanyak 33.0 sen sesaham, menjadikan nilai dividen keseluruhan sebanyak 60.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2020 (tahun kewangan 2019: 60.0 sen sesaham) yang boleh bayar kepada pemegang saham pada 5 Feb, 2021.

Tarikh kelayakan dividen adalah pada 21 Jan, 2021.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon