Micron Malaysia beri komitmen ambil pekerja yang diberhentikan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Micron Malaysia beri komitmen ambil pekerja yang diberhentikan

Micron Malaysia beri komitmen ambil pekerja yang diberhentikan

25 Jan 2021

Micron Technology Inc, penyedia penyelesaian memori dan penyimpanan yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) komited untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja Malaysia yang diberhentikan ketika pandemik COVID-19 serta pada masa sama memupuk bakat tempatan.

Pengarah Sumber Manusia Micron Malaysia Moorthy Murugaiah berkata syarikat berkenaan telah menyertai skim insentif pengambilan dan latihan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan.

Beliau berkata Micron bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan pangkalan data pekerja yang diberhentikan.

“Cara kami memanfaatkan skim PENJANA adalah dengan menggunakan bantuan ini dengan memberikan latihan untuk memperbaharui serta meningkatkan kemahiran pekerja yang diberhentikan sebelum membawa mereka kembali bekerja,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata usaha untuk meningkatkan dan memperbaharui kemahiran itu dilaksanakan dengan penyedia perkhidmatan pihak ketiga, seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang.

“Micron telah menggaji lebih dari 133 pekerja di bawah skim PENJANA, termasuk pengendali, juruteknik dan jurutera,” tambahnya.

Moorthy mengatakan bahawa Micron juga berusaha untuk memberi inspirasi dan mengembangkan generasi baharu saintis dan jurutera dalam kalangan belia dengan harapan Malaysia dapat berdaya saing dalam lanskap global.

Beliau berkata meskipun pandemik COVID-19 serta cabaran lain yang sedang dihadapi di Malaysia, komitmen syarikat dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan tidak berubah.

“Pembiayaan kami untuk menyokong pengembangan pekerja tidak hanya menguntungkan Micron tetapi juga seluruh ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurut Moorthy, Micron Global juga telah memperkenalkan inisiatif kepelbagaian, persamaan dan inklusif (DEI) untuk mengetengahkan tiga nilai dan membawa visi untuk mengubah bagaimana dunia menggunakan maklumat untuk memperkaya kehidupan bagi semua orang.

Katanya di bawah inisiatif DEI, pasukan eksekutif di Micron Malaysia akan lebih menumpukan perhatian terhadap peningkatan perwakilan dan pengiktirafan untuk kumpulan yang kurang diberi perhatian, khususnya wanita dan orang kurang upaya.

“Individu yang kami bawa ke organisasi, sama ada dari dua golongan yang kurang diberi perhatian itu, adalah untuk mewujudkan keterangkuman, dan idea mengenai gaji yang adil secara khusus disesuaikan untuk memenuhi harapan ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon