DexCom mulakan pembinaan kemudahan perkilangan pada awal Februari, kata InvestPenang
26 Jan 2021
DexCom Inc. akan memulakan pembinaan kemudahan perkilangannya di kawasan seluas 28 ekar (11.33 hektar) di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang pada awal Februari 2021 setelah terlepas sasaran awal pada separuh kedua tahun lepas.
Kelewatan itu disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan merentas sempadan, kata Datuk Loo Lee Lian, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, agensi utama kerajaan Pulau Pinang untuk promosi pelaburan.
Pada masa ini, beliau berkata Dexcom juga bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Imigresen, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan majlis tempatan untuk memudahkan pelaksanaan projek berkenaan di lapangan.
“Kemajuannya sebahagian besar berjalan lancar dan perancangan projek tidak berubah.
“Pada kebiasaan, pembinaan djangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 hingga 14 bulan untuk disiapkan,” katanya kepada Bernama.
Pada Jun 2020, kerajaan negeri mengumumkan bahawa DexCom akan membangunkan kemudahan ketiga dan paling terbaru, yang juga akan menjadi yang pertama di luar Amerika Syarikat.
Dexcom mengembangkan, mengeluarkan dan mengedarkan sistem pemantauan glukosa berterusan untuk pengurusan diabetes.
Dengan pendapatan AS$1.5 bilion pada tahun 2019, DexCom adalah syarikat teknologi perubatan inovatif yang diiktiraf di seluruh dunia.
Konstituen S&P 500 itu adalah perintis sistem pemantauan glukosa berterusan (CGM) yang membentuk semula landskap industri, membawa kesan positif yang mendalam bagi mereka yang menghidap diabetes.
Pada tahun 2019, terdapat kira-kira 450 juta orang dewasa diabetes di seluruh dunia.
Sementara itu, Loo berkata Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.6 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun 2020.
Untuk tahun ini, Pulau Pinang akan terus fokus untuk memperkuat daya saingnya untuk menarik pelaburan langsung pembuatan asing dan domestik yang berkualiti tinggi, katanya.
Ini termasuk pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI), terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), automasi dan peralatan berkaitan dengan E&E dan teknologi perubatan, katanya.
“Ketersediaan bakat yang berkelayakan adalah faktor penting dalam menarik FDI dan DDI, dan kejayaan negeri itu dalam menarik pelaburan strategik menyaksikan ribuan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi setiap tahun.
“Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai tarikan bakat di wilayah utara. Negeri itu akan terus berusaha mengenalpasti, memupuk dan mengembangkan bakat tempatan dan ekonomi dengan sebaik mungkin,” jelas beliau.
Sumber: Bernama