Firma Korea labur RM2.3 bilion buka kilang di Sabah
26 Jan 2021
SK Nexilis, syarikat Korea Selatan yang membina kerajang tembaga bagi pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV), SKC, membuka kemudahan pengeluaran luar negara pertamanya di Kompleks Perindustrian KKPI, dekat sini.
Dengan cadangan pelaburan 650 bilion won (RM2.3 bilion), syarikat itu akan membina kemudahan pengeluaran kerajang tembaga dengan kapasiti pengeluaran tahunan 50,000 tan.
Pembinaan kemudahan berkenaan dijadualkan bermula pada separuh pertama 2021 dan operasi komersial akan bermula pada 2023.
Sebaik beroperasi, kemudahan baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kerajang tembaga SK Nexilis sebanyak tiga kali ganda kapasiti global semasanya kepada kira-kira 100,000 tan.
SK Nexilis adalah peneraju global teknologi pembuatan kerajang tembaga bagi bateri.
Syarikat itu mempunyai reputasi industri kerana membina antara kilang kerajang tembaga yang terbaik.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan gembira apabila anak syarikat kepada firma Fortune 500 memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan luar negara pertamanya.
Katanya, ia adalah satu daripada banyak kisah kejayaan di mana Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memudahcara untuk membawa pelaburan berkualiti ke dalam negara.
“Sebagai pemimpin global dalam inovasi teknologi-nipis untuk pembuatan kerajang tembaga, kami percaya kehadiran SK Nexilis akan menarik lebih banyak pelabur untuk melengkapkan rangkaian rantaian bekalan bateri EV Malaysia.
“Ia sekali gus menjadikan kita sebagai hab untuk kerajang tembaga berketepatan tinggi dan berkualiti tinggi untuk aplikasi khusus,” katanya.
Tambahnya, pelaburan ini juga akan merangsang jaringan bakat dan kemampuan Malaysia melalui inisiatif dengan universiti dalam negeri dan institusi teknikal.
“Di sebalik pandemik yang berterusan, MIDA terus menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti ini ke dalam negara untuk memberi peluang untuk inovasi dan pembangunan rantaian bekalan tempatan.
“Ini adalah penciptaan nilai yang akan meningkatkan ekosistem dan daya saing industri tempatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian