Malaysia komited perkukuh pelaburan teknologi hijau - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia komited perkukuh pelaburan teknologi hijau

Malaysia komited perkukuh pelaburan teknologi hijau

26 Jan 2021

Malaysia akan terus mengukuhkan pelaburan dalam industri teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui seiring dengan matlamat negara menjadi peneraju dalam industri itu di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata dalam tempoh sembilan bulan sehingga September 2020, sebanyak RM2.23 bilion pelaburan dalam industri teknologi hijau diluluskan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya pada 2016 sehingga September 2020, MIDA meluluskan 1,317 projek teknologi hijau dengan pelaburan berjumlah RM18.55 bilion.

Katanya, dengan sokongan insentif berterusan kerajaan dalam industri ini, MIDA merekodkan 63 syarikat perkhidmatan teknologi hijau dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan operasi yang dicadangkan sebanyak RM318.51 juta.

“Jumlah ini sangat membanggakan, membuktikan negara menjadi tumpuan pelaburan dalam industri teknologi hijau.

“Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, industri ini akan terus mendapat keuntungan,” katanya ketika sidang media selepas pengumuman pencapaian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Ke-11 (IGEM 2020).

Sidang media dikendalikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Azman berkata, MIDA pada 2020 agresif melaksanakan lebih daripada 200 program dan jalinan berkaitan dengan teknologi hijau dengan pelabur asing dan domestik.

Beliau berkata, langkah kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk mengukuhkan teknologi hijau seperti perluasan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dan penerbitan Sukuk Hijau akan terus memperkasakan lagi pelaburan dalam industri ini.

Malah, katanya, ketika IGEM 2020 yang lalu, MIDA berjaya menarik 64 projek pelaburan teknologi hijau berjumlah RM3.08 bilion dari sektor perkilangan (RM30.4 juta) dan perkhidmatan (RM3.05 bilion).

“Sasaran awal pelaburan berpotensi yang dapat dicapai ketika IGEM 2020 yang lalu juga meningkat dua kali ganda kepada RM3.08 bilion walaupun seluruh dunia termasuk Malaysia berhadapan dengan krisis kewangan kesihatan disebabkan COVID-19.

“Tenaga boleh diperbaharui (RE), kecekapan tenaga (EE), pajakan solar, pengurusan sisa bersepadu, bangunan hijau dan

sektor pembuatan antara pelaburan berpotensi yang dicapai ketika penganjuran itu.

“Segmen pengurusan sisa RE terus menjadi pelaburan tertinggi berjumlah RM1.75 bilion (57 peratus), diikuti segmen hidro mini RE pada RM814 juta (26 peratus).

“Berikutan ini, sehingga Disember 2020, MIDA menerima 36 permohonan melalui IGEM 2020 dengan jumlah pelaburan yang dicadangkan sebanyak RM167.5 juta,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon