Kolaborasi universiti, industri lonjak kebolehpasaran graduan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kolaborasi universiti, industri lonjak kebolehpasaran graduan

Kolaborasi universiti, industri lonjak kebolehpasaran graduan

29 Jan 2021

Kes harian pandemik COVID-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) semakin bertambah. Secara tidak langsung, ia meningkatkan jumlah kumulatif kes aktif di seluruh negara.

Kerajaan mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kebanyakan negeri.

Situasi ini jelas memberikan impak besar kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Dijangkakan ramai akan kehilangan pekerjaan dan mata pencarian disebabkan oleh pengurangan atau penutupan operasi perniagaan.

Tidak terkecuali, sejumlah besar graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang sudah dan akan tamat pengajian masing-masing pada tahun ini.

Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dalam industri akan menjadi semakin mencabar.

Masalah ini ditambah pula dengan kadar pengangguran sedia ada yang tinggi dalam kalangan graduan universiti.

Langkah proaktif universiti dalam membantu kebolehpasaran graduan pasca pandemik ini adalah sangat penting untuk dirancang dan dilaksanakan. Ia memerlukan inisiatif khusus dalam institusi berkenaan serta kolaborasi yang mantap dengan pemain industri.

Sebagai contoh Universiti Teknologi MARA (UITM) melaksanakan inisiatif Program Pengwujudan Pekerjaan atau ‘job creation’. Program yang diwujudkan melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) ini adalah satu pendekatan mendepani cabaran kebolehpasaran graduan sebagai impak kepada kehadiran pandemik COVID-19.

Pihak universiti juga perlu mengambil manfaat berkolaborasi dengan pihak industri yang bersesuaian dengan bidang yang ditawarkan.

Sebagai contoh kolaborasi antara UITM cawangan Perak melalui Pusat Pengajian Ukur Bangunan dengan pihak industri Chulia Facilities Management Sdn Bhd membuka ruang kebolehpasaran graduan pasca pandemik.

Graduan diberikan tempat menjalani latihan dan peluang bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang pengurusan fasiliti. Graduan yang menunjukkan potensi dan prestasi yang baik akan diberikan peluang berada dalam industri.

Kolaborasi sebegini dianggap peluang keemasan yang harus dimanfaatkan universiti dan rakan industri.

Sementara itu, graduan seharusnya mengambil peluang dalam menghadapi situasi kebolehpasaran yang semakin mencabar dan mengecil.

Graduan tiada pilihan lain, selain terus berusaha meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan peluang kolaborasi antara universiti-industri yang sedia terjalin.

Besar sekali harapan supaya lebih banyak bentuk kolaborasi antara universiti-industri dapat dilaksanakan dengan perancangan dan pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan kebolehpasaran graduan tidak terjejas teruk akibat impak pandemik.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon