Pengurusan Alam Sekitar
Untuk menggalakkan pembangunan yang mapan dan lestari, kerajaan Malaysia telah menetapkan kerangka undang-undang dan institusi bagi perlindungan alam sekitar. Pelabur digalakkan untuk mempertimbangkan faktor alam sekitar di peringkat awal perancangan projek mereka. Aspek kawalan pencemaran termasuklah melakukan modifikasi pada proses untuk meminimumkan penghasilan sampah, meningkatkan kesedaran bahawa pencegahan pencemaran adalah sebahagian daripada proses pengeluaran, dan memfokuskan pada pilihan kitar semula termasuk amalan kawalan kendiri.
Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) telah diwujudkan untuk memastikan kemajuan ekonomi, sosial dan budaya yang berterusan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia melalui pembangunan yang mapan dan lestari.
Objektif DASN adalah untuk mencapai:
- Persekitaran yang bersih, selamat, sihat dan produktif untuk generasi sekarang dan akan datang;
- Pemuliharaan warisan budaya dan semula jadi negara yang unik dan pelbagai dengan penyertaan yang efektif oleh semua sektor masyarakat; dan
- Gaya hidup dan corak penggunaan dan pengeluaran yang lestari.
Terdapat lapan (8) prinsip yang disenaraikan di bawah DASN untuk menyelaraskan matlamat pembangunan ekonomi dengan keperluan alam sekitar:
- Pengawasan Alam Sekitar
- Pemeliharaan Vitaliti dan Kepelbagaian Alam Sekitar
- Peningkatan Kualiti Alam Sekitar yang Berterusan
- Penggunaan Sumber Asli yang Lestari
- Pembuatan Keputusan yang Bersepadu
- Peranan Sektor Swasta
- Komitmen dan Akauntabiliti
- Penyertaan Aktif dalam Komuniti Antarabangsa
DASN berusaha untuk mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar ke dalam kegiatan pembangunan dan dalam semua proses pembuatan keputusan yang berkaitan, untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan manusia bagi jangka panjang, dan untuk melindungi dan meningkatkan alam sekitar. Ia melengkapi dan meningkatkan dimensi lingkungan bagi dasar-dasar negara yang lain, seperti dasar perhutanan dan industri, dan sekaligus memberikan perhatian kepada konvensyen antarabangsa mengenai permasalahan global.
Keperluan Berkaitan Alam Sekitar
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan peraturan yang berkaitannya mengkehendaki pematuhan berkaitan penilaian kesan alam sekitar, penilaian kesesuaian lokasi, penilaian pengendalian pencemaran, pemantauan dan amalan kawalan kendiri. Kegiatan industri perlu mendapatkan kelulusan yang berikut daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar sebelum projek dilaksanakan:
i. Penilaian kesan alam sekitar bagi Aktiviti yang Ditetapkan.
ii. Pemberitahuan atau kebenaran bertulis untuk membina.
iii. Kelulusan bertulis untuk pemasangan insinerator, peralatan pembakaran bahan bakar dan cerobong asap.
iv. Lesen untuk menduduki dan mengendalikan premis yang ditetapkan dan alat pengangkutan yang ditentukan.