PM gesa industri, orang ramai patuhi SOP untuk pastikan perniagaan terus beroperasi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PM gesa industri, orang ramai patuhi SOP untuk pastikan perniagaan terus beroperasi

PM gesa industri, orang ramai patuhi SOP untuk pastikan perniagaan terus beroperasi

04 Feb 2021

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pihak industri dan orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan perniagaan dan perdagangan terus beroperasi, sekali gus membantu memutuskan rantaian COVID-19.

“Kerajaan mendengar semua pandangan anda dengan tidak menutup ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Oleh itu, tolong beri kerjasama dengan mematuhi SOP dengan ketat agar kita dapat pastikan perniagaan dan perdagangan dapat terus beroperasi dan pada masa yang sama membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19 di tempat kerja dan dalam kalangan masyarakat,” kata beliau dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Perdana menteri turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya seperti yang pernah dikuatkuasakan sebelum ini tidak akan berulang. 

Meskipun sekatan pergerakan sepenuhnya merupakan antara kaedah yang paling berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, namun ia akan memberikan kesan yang amat negatif terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat, ujar beliau.

“Banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar, perusahaan lumpuh, dan rakyat akan hilang pekerjaan serta mata pencarian. Kehidupan rakyat pastinya akan terjejas dengan teruk. Ini adalah satu keadaan yang kita mesti sama-sama elakkan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kaedah terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi untuk terus beroperasi dan pada masa sama melaksanakan SOP yang ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan dalam kalangan komuniti.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa.

Menurut perdana menteri, satu Pasukan Petugas Khas Pemantauan dan Penguatkuasaan PKP yang dianggotai oleh pelbagai agensi dan kementerian telah ditubuhkan untuk memantau pematuhan SOP.

Bagi pemantauan di premis-premis kilang dan bukan kilang di negara ini, sehingga 3 Februari 2021, Pasukan Petugas Khas dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membuat lawatan tinjauan di 2,276 premis di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 197 premis telah diberikan teguran dan 34 diarah tutup kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan manakala seramai 82,141 individu telah dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia dan 31,740 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon