Aeroangkasa, pertanian pintar antara industri berpotensi tinggi RMK12
01 Mac 2021
Kerajaan telah mengenal pasti beberapa industri berpotensi tinggi sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antara industri berpotensi tinggi adalah industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar.
“Kerajaan juga akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepatkan peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi,” kata beliau sewaktu menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.
Muhyiddin berkata dalam usaha merancang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara untuk jangka masa panjang, kerajaan komited meletakkan ekonomi Malaysia di atas landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Beliau menambah pelan pembangunan sosioekonomi negara lima tahun adalah penting bagi menetapkan hala tuju strategik yang jelas dan meletakkan ekonomi negara di atas asas yang lebih kukuh.
Antara keutamaan kerajaan dalam RMKe-12 termasuklah menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi.
Pembangunan di Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain yang kurang membangun akan dipercepatkan dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas, tambah beliau.
RMKe-12 bermatlamat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Sumber: Bernama