Hextar ambil alih Chempro perluas cabang kimia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hextar ambil alih Chempro perluas cabang kimia

Hextar ambil alih Chempro perluas cabang kimia

08 Mac 2021

Syarikat agrokimia, Hextar Global Bhd membeli keseluruhan kepentingan pengeluar dan pembekal penyelesaian pembersihan khusus di Malaysia, Chempro Group of Companies dengan harga RM138 juta.

Ia memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dengan Chempro, yang kini beroperasi di pelbagai lokasi di seluruh Asia termasuk Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei, Hong Kong, Taiwan dan China.

Chempro menyediakan produk kimia khusus untuk industri pembersihan, kebersihan dan makanan, serta industri sarung tangan getah.

Pengarah Eksekutif Hextar, Datuk Ong Choo Meng yakin Chempro Group akan memberi nilai tambah kepada Hextar memandangkan SSA itu akan memberikan jaminan keuntungan berjumlah RM39 juta bagi tempoh tiga tahun, yang membawa kepada keuntungan selepas cukai berjumlah RM13 juta setahun sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Selepas mendapat kelulusan pengawal selia dan pemegang saham kami, Chempro akan dimiliki sepenuhnya oleh Hextar Global Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.

Hextar akan mengambil alih tiga syarikat di bawah Chempro Group, iaitu Chempro Technology (Malaysia) Sdn Bhd, Protek Chemicals & Engineering (Brunei) Sdn Bhd, dan syarikat kendiri, Alpha Aim (Malaysia) Sdn Bhd.

Pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, selepas mengambil kira tahap kadar hutang syarikat, kos faedah, serta keperluan tunai dalaman bagi modal kerja dan perbelanjaan modal.

Ia diharapkan dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan Hextar bermula suku ketiga tahun kewangan 2021 dan seterusnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon