UAE komited tingkatkan pelaburan ke Malaysia
11 Mac 2021
Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan komitmen tinggi untuk menggandakan pelaburan dan perdagangan dua hala selain menyatakan kesediaan untuk membantu Malaysia merealisasikan agenda pendigitalan pendidikan selaras dengan program Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dua perkara itu adalah antara berita baik hasil perbincangannya dengan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, pada pertemuan berkenaan, pemimpin UAE itu memberi petunjuk ke arah ‘kerjasama tanpa batas’ (the sky is the limit) dalam perkara yang dibincangkan membabitkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutama pelaburan, perdagangan dan pendidikan.
Perdana Menteri berkata, UAE menyatakan komitmen tinggi untuk meningkatkan nilai dagangan dua hala hingga lima kali ganda berbanding AS$3 bilion pada masa ini.
“Jadi saya hendak faham apa maksud ‘the sky is the limit’ dan apabila berbincang lanjut dan tunjukkan data-data jumlahnya, dalam perbincangan itu sebelum habis meminta supaya ia (perdagangan) dapat ditingkatkan, baginda sebut ‘setuju lima kali ganda’.
“Apa sahaja nombor (nilai) yang kita ada hari ini, jika ikut laporan AS$3 bilion, …ini akan ditingkatkan lima kali ganda tanpa disebut tempoh masa,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada hari akhir lawatan rasmi ke UAE semalam.
Muhyiddin berkata, dalam perbincangan itu, Malaysia juga mengharapkan supaya jumlah pelaburan dari UAE juga dapat ditingkatkan yang mana Syeikh Mohamed Zayed memberi komitmen ia akan dilakukan sama seperti pelaburan mereka di negara lain seperti China, India dan Pakistan.
Menganggap layanan yang diberikan oleh pemimpin UAE itu sebagai luar biasa, Muhyiddin berkata, reaksi itu menunjukkan Syeikh Mohamed Zayed dan UAE berminat secara mendalam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia seperti dalam bidang keselamatan makanan, elektrikal, elektronik, minyak serta gas.
Perdana Menteri berkata, secara spesifiknya, bidang-bidang yang akan dikenal pasti adalah yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya ketika pandemik COVID-19 pada masa ini.
Muhyiddin berkata, pemimpin UAE itu juga memberi reaksi luar biasa untuk membantu sektor pendidikan di Malaysia, khususnya berkaitan dengan usaha pendigitalan pendidikan negara selain soal pengiktirafan sijil dan kerjasama antara universiti di Malaysia dan UAE.
Syeikh Mohamed Zayed prihatin dengan maklumat berkaitan kesan pandemik COVID-19 terhadap pelajar di Malaysia apabila sekolah terpaksa ditutup dan masalah ibu bapa yang kurang kemampuan menyediakan peralatan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).
“Saya kemukakan cadangan bahawa kita sedang rancang melaksanakan pendidikan digital selari dengan Pelan Digital Malaysia iaitu belajar secara dalam talian tetapi hendak melaksanakan program itu akan membabitkan ramai iaitu hampir enam juta pelajar perlu dibekalkan peralatan.
“Bagaimanapun, belum habis saya memberikan penerangan, baginda memberi reaksi ‘done’ (beres), jadi apabila baginda menyatakan demikian, saya rasa cukup istimewa dan lega yang berkemungkinan besar bahawa apa yang saya fikir dan rancang awal bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan hampir jadi kenyataan apabila Putera Mahkota kata beliau sanggup bantu,” katanya.
Malaysia menghargai komitmen itu kerana kemungkinan kos yang akan ditanggung kerajaan adalah antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.
Berikutan itu, katanya, pegawai di peringkat kementerian akan diminta menyediakan butir terperinci yang turut membabitkan kandungan dan ekosistem ke arah pendigitalan pendidikan itu.
Pada masa sama, katanya, Sheikh Mohamed Zayed juga menyatakan minat untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam membantu usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menerima kesan COVID-19 menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi.
UAE tertarik dengan kaedah itu dan akan menghantar pegawai tinggi ke Malaysia untuk melihat bagaimana ia dilakukan dan bagaimana bantuan itu boleh menyelamatkan peniaga kecil,” katanya.
Pada lawatan rasmi itu, Perdana Menteri turut bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden UAE yang juga Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.
Sebanyak tiga Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani sempena lawatan itu iaitu penubuhan Kerjasama Diplomasi Keselamatan Makanan; mewujudkan Kursi Sheikh Zayed Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Kerjasama Latihan Diplomat.
MoU Kerjasama Diplomasi Keselamatan Makanan membabitkan had makanan di kedua-dua negara bagi memastikan sumber makanan yang mencukupi bagi kedua-dua negara.
Penubuhan Kursi Sheikh Zayed Al Nahyan pula membabitkan ISIS dan Akademi Diplomatik Anwar Gargash (AGDA) bagi meningkatkan kefahaman mengenai sumbangan Sheikh Zayed selain mempromosikan keamanan, kestabilan dan toleransi di Asia Barat.
MoU membabitkan latihan diplomat pula berkaitan latihan serta kursus golongan berkenaan dalam bidang hubungan antarabangsa, oeragisasi antarabangsa, undang-undang, hubungan ekonomi antarabangsa, isu serantau, konsular dan sains politik.
Pertukaran dokumen MoU itu membabitkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Sheikh Abdullah.
Sumber: Berita Harian