Pembangunan Lok Kawi Resort City pacu inisiatif pelan SMJ: Hajiji - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pembangunan Lok Kawi Resort City pacu inisiatif pelan SMJ: Hajiji

Pembangunan Lok Kawi Resort City pacu inisiatif pelan SMJ: Hajiji

22 Mac 2021

Pembangunan Lok Kawi Resort City dijangka memacu sektor pelancongan, satu daripada tiga teras utama yang digariskan dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Pelan SMJ 2021-2025 merangkumi tiga teras utama iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang akan bergerak seiring dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Hajiji berkata pembangunan Lok Kawi Resort City yang merangkumi pembinaan pusat peranginan, hotel, kompleks beli-belah, taman tema, blok komersial dan pejabat serta perumahan itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 166.3 hektar di Lok Kawi, Putatan, dekat sini, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 billion.

Katanya projek itu dilihat akan dapat melonjak persekitaran yang kondusif bagi sektor pelancongan di Sabah.

“Kerajaan negeri optimis sektor pelancongan di Sabah akan berkembang dengan pesat sebaik sahaja pandemik Covid-19 dapat ditangani. Projek ini dijangka dapat menyediakan 5,000 peluang pekerjaan dan akan bertambah apabila beroperasi sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Lok Kawi Resort City di sini, pada Isnin.

Ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengiringi Muhyiddin menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman inisiatif pelaburan asing dan domestik antara Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd dan SK Nexilis Co. Ltd serta kerajaan Sabah dan Linaco Group of Companies. 

Mengenai MoU antara KKIP Sdn Bhd dan SK Nexilis Co. Ltd, Hajiji berkata syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk kenderaan yang berpangkalan di Korea Selatan itu bersetuju untuk membuat pelaburan di luar negara dan memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan.

Beliau berkata pelaburan tersebut melibatkan sejumlah RM2.3 bilion dan dijangka menawarkan 500 peluang pekerjaan dalam fasa awal manakala pembinaan kilang disasarkan mula beroperasi pada 2023 yang dijangka meningkatkan lagi penggunaan pelabuhan dengan kadar 10,000 TEU setahun.

Hajiji berkata MoU antara kerajaan Sabah dan Linaco Group of Companies melibatkan penanaman dan memproses kelapa iaitu kelapa hibrid dengan hasil tinggi berskala besar diikuti pembangunan kilang memproses kelapa secara bersepadu untuk mengoptimumkan pengeluaran produk berasaskan kelapa.

“Sebagai sebuah syarikat terkemuka yang membekalkan produk berasaskan kelapa kepada lebih 40 negara, Linaco akan membeli semua kelapa yang dituai melalui penanaman kelapa bersepadu. Sebuah Pusat Kecemerlangan juga akan dibangunkan untuk memantau pelaksanaan amalan terbaik projek ini.

“Kilang memproses kelapa akan beroperasi secepatnya dengan pelaburan awal dianggarkan RM200 juta,” katanya, sambil menambah, penglibatan sektor swasta dan pelabur dari dalam dan luar negara akan menjadi antara strategi utama pelaksanaan hala tuju SMJ.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon