Bin Zayed bawa masuk RM100 bilion pelaburan ke Malaysia
30 Mac 2021
Bin Zayed International LLC (BZI), konglomerat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan hasrat untuk membantu membawa masuk pelaburan sehingga RM100 bilion dari negara itu ke Malaysia susulan hubungan akrab yang sedia terjalin antara kedua negara.
Buat permulaan, Pengarah Urusan Kumpulan BZI, Sheikh Midhat Kidwai, berkata pihaknya sudah mengemukakan surat hasrat mengenai pelaburan berkenaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Potensi pelaburan itu, katanya, disasarkan dalam mana-mana projek dan perniagaan yang berpotensi dan dikenal pasti pada masa akan datang di negara ini.
BZI melaksanakan pelaburannya sulungnya melalui kerjasama strategiknya di negara ini iaitu Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu tempatan.
Ia bagi tujuan membangunkan projek pembangunan bercampur Widad@Langkasuka yang bernilai RM40 bilion, secara bersama.
Sheikh Midhat berkata, selain itu pihaknya turut menyatakan minat untuk terus melabur dalam projek infrastruktur mega dan konsesi Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kemasukan pelaburan itu bakal membantu meningkatkan pemulihan ekonomi Malaysia serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
“Pelaburan kami dalam Widad@Langkasuka pula dijangka akan berupaya membawa projek itu menjadi antara destinasi tumpuan terbaru Malaysia dan juga dunia,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara BZI dan WBG di sini hari ini.
Majlis disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Eksekutif WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, berkata bagi projek Widad@Langkasuka, pelaburan antara WBG and BZI adalah sekitar 50:50.Beliau berkata, itu adalah permulaan kerjasama strategik BZI di Malaysia sebelum kumpulan dari UAE itu merancang untuk menjalankan lebih banyak pelaburan lain di negara ini.
BZI katanya, bersedia untuk melabur di Malaysia dan sedang meninjau beberapa projek mega negara yang lain.
“Surat kepada kerajaan juga adalah niat pelaburan BZI di negara ini. Saya percaya pelaburan BZI akan memanfaatkan negara.
“Bagi Widad@Langkasuka pula, kedua kumpulan akan bekerjasama menyelaras dengan pihak berkepentingan berkaitan dengan pembangunan infrastruktur, pembinaan dan kerja lain yang berkaitan,” katanya.
WBG ketika ini dalam fasa pertama projek pembangunan bercampur mega termasuk sebuah pulau buatan di Langkawi, Kedah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion.
Muhammad Ikmal berkata, projek yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.Beliau berkata, projek pembangunan moden bercirikan Islam bakal mengubah landskap Langkawi dan menjadi tarikan baru di lokasi pelancongan utama negara itu.
Katanya, ketika ini hampir 90 peratus daripada 800 hektar kawasan projek itu adalah kawasan laut berhampiran Padang Matsirat, tetapi WBG akan tebus guna selain daripada membangunkan sebuah pulau buatan berkeluasan 405 hektar atau 50 peratus dari keseluruhan kawasan.
“Widad@Langkasuka apabila siap nanti bakal mempunyai hotel dan resort bertaraf lima dan enam bintang, padang golf antarabangsa bersebelahan Marina Yacht Club, kompleks pejabat dan perniagaan antarabangsa, pusat membeli belah, institusi pengajian tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan serta kediaman mewah.
“Ia juga dijangka menarik lebih banyak kemasukan pelabur asing. Pembangunan Widad@Langkasuka ini juga akan merancakkan ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan nilai hartanah di sekitarnya,” katanya.
Selain itu, Muhammad berkata, WBG juga merancang untuk menganjurkan acara tahunan seperti ‘Redbull Air Race’, ‘Power Boat Race’, ‘Jet Ski Race’ dan festival bunga api antarabangsa bagi mempromosikan pelancongan di Langkawi.
Sumber: Berita Harian