Flexidynamic: Segmen tangki penyimpanan, pemprosesan dilihat sebagai satu lagi tonggak perniagaan
18 Mei 2021
KUALA LUMPUR, 18 Mei — Pengeluar sarung tangan klorinasi Flexidynamic Holdings Bhd, yang mempamerkan penyenaraian sulung yang memberangsangkan di Pasaran ACE baru-baru ini, bersedia untuk terus mengembangkan segmen tangki penyimpanan dan pemprosesan untuk menjadi tonggak perniagaannya yang lain selepas berjaya meningkatkan sistem klorinasi sarung tangan secara on-line.
Pengurus Besar Ben Sin berkata reka bentuk dan kejuruteraan sistem klorinasi sarung tangan secara on-line mengikut kesesuaian itu menyumbang 58.21 peratus daripada pendapatannya sementara segmen tangki penyimpanan dan pemprosesan menguasai 21.25 peratus.
“Ia telah menjadi tonggak pertumbuhan yang kukuh untuk Flexidynamic kerana telah memperlihatkan trajektori menaik daripada 6.56 peratus pada tahun kewangan 2017. Ia juga memiliki potensi yang kuat kerana tidak semua pelanggan yang ada mengambil produk ini daripada kami, dan kami dapat memanfaatkan jaringan sedia ada untuk mengembangkannya,” jelas beliau kepada Bernama.
Syarikat ini mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada bulan Mac 2021, meningkat sehingga 52 sen untuk premium 260 peratus berbanding harga terbitannya 20 sen sesaham, yang sekali gus memperkukuhkan profil syarikat sebagai antara peserta terkemuka dalam industri pembuatan sarung tangan.
Dalam prospektus tawaran awam permulaannya (IPO), Flexidynamic menyatakan bahawa ia akan mendapatkan dua kilang baharu untuk membantu pengembangannya dan pada masa sama mengurangkan pergantungan kepada subkontraktor pihak ketiga, yang lama kelamaan akan turut merendahkan risiko bagi perniagaan itu.
Kilang-kilang tambahan itu juga akan menempatkan tangki simpanan, menara penggosok, serombong asap dan saluran air yang pada masa ini dibuat oleh Flexidynamic secara penyumberan luar kepada subkontraktornya.
“Pembuatan sistem pengklorinan sarung tangan secara on-line, tangki simpanan, tangki pemprosesan dan sistem penggosok dilakukan secara penyumberan luar kepada subkontraktor, yang melibatkan sekitar 34 peratus daripada perbelanjaan kami untuk tahun kewangan 2020,” katanya.
Beliau menambah pengambilalihan itu juga akan meningkatkan keupayaan pembuatan dalamannya untuk menampung permintaan pelanggan tempatan dan luar negara memandangkan syarikat itu berterusan mengembang dan memperluaskan perniagaannya.
Ditanya mengenai kehadiran syarikat di rantau ini terutamanya Vietnam dan Thailand, Indonesia dan Sri Lanka, beliau berkata 40 peratus daripada hasil syarikat diperoleh daripada pasaran seberang laut dan Flexidynamic berhasrat mengembangkan perniagaan klorinasi sarung tangannya di Vietnam dan Thailand dengan mendapatkan pengeluar sarung tangan sebagai pelanggan baharu dan menyokong pelanggan sedia ada sekiranya mereka mewujudkan atau mengembangkan kilang pengeluaran mereka ke luar negara.
“Kami terus berusaha mendapatkan pelanggan baharu, tidak kira di dalam negara atau di pasaran seberang laut setiap kali ada kesempatan berbuat demikian,” ujarnya.
Sementara itu, firma perunding penyelidikan dan strategi Smith Zander mengunjurkan permintaan global untuk sarung tangan getah akan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan 10 peratus dari tahun 2021 kepada sekitar 615 bilion keping pada tahun 2025.
Ia berkata dengan jangkaan pertumbuhan untuk permintaan global, akan ada lebih banyak pengembangan atau peluasan baharu dan/atau penambahbaikan kemudahan pembuatan sarung tangan yang akan mewujudkan permintaan untuk sistem pengklorinan sarung tangan.
Sumber: Bernama