PIKOM: COVID-19 menjadi kesedaran untuk beralih menggunakan teknologi digital
19 Mei 2021
Pandemik COVID-19 telah memberi kesedaran kepada masyarakat di seluruh dunia bahawa mereka perlu berubah menerusi penggunaan teknologi digital di mana kalangan mereka yang lebih pantas dan bijak, pastinya akan terus bertahan.
Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Danny Lee berkata sesetengah pihak, terutamanya komuniti perniagaan perlu melangkah ke hadapan dan memanfaatkan perubahan itu.
“Teknologi akan menjadi teras kepada transformasi perniagaan dan masyarakat. Interaksi kita di ruang sosial, komunikasi perniagaan dan dalam berurusan dengan kerajaan akan berubah.
“COVID-19 dilihat tidak akan meninggalkan kita dalam masa terdekat, hanya ada satu kaedah untuk menanganinya. Kita mesti mencari jalan untuk menyesuaikan diri, hidup dalam situasi ini dan menangani cabaran untuk kita terus maju,” katanya dalam ucapan aluan pada Sidang Kemuncak Digital PIKOM 2021 secara maya hari ini.
Sementara itu, pengerusi penganjur sidang kemuncak berkenaan Datuk Seri Ivan Teh berkata program itu memberi tumpuan dalam melibatkan industri teknologi melalui kepimpinan pemikiran, trend dan wawasan bagi menggalakkan inovasi, penggunaan teknologi baharu dan model perniagaan baharu dalam meningkatkan pertumbuhan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di Malaysia.
“Saya pasti kita tahu bahawa pendigitalan akan kekal di sini dan akan terus berkembang. Malah, ia telah berkembang sejak sebelum pandemik. Namun, apa yang penting, kita perlu mengakui apa yang perlu dilakukan dan memastikan tiada sesiapa yang akan ketinggalan.
“PIKOM sebagai persatuan teknologi terkemuka terus mengadakan perbincangan dalam pelbagai bidang teknologi dan persekitaran digital untuk negara. Tajuk industri seperti keselamatan siber, analisis data, AI (kecerdasan buatan) dan GBS (perkhidmatan perniagaan global) akan menjadi fokus kepada siri empat bahagian sidang kemuncak digital pada tahun ini,” tambahnya.
Sidang Kemuncak Digital PIKOM (Siri Persidangan Maya) anjuran PIKOM akan diadakan sebanyak empat siri bermula Mei hingga Julai 2021, merangkumi tiga acara PIKOM iaitu Sidang Kemuncak Kepimpinan PIKOM (PLS), Sidang Kemuncak Masa Depan Keselamatan Siber (FOCS) dan Sidang Kemuncak GBS.
PLS merupakan acara tahap C (eksekutif peringkat tinggi) melibatkan industri teknologi melalui kepimpinan pemikiran, trend dan wawasan untuk menggalakkan inovasi, penggunaan teknologi baharu dan model perniagaan baharu dalam meningkatkan pertumbuhan ICT di Malaysia.
FOCS adalah platform yang diilhamkan Bahagian Keselamatan Siber PIKOM bagi menangani ancaman siber dan isu pematuhan yang dihadapi organisasi yang mana pakar tempatan dan serantau akan berkongsi pandangan dan amalan terbaik untuk mengatasi ancaman siber.
Sidang Kemuncak GBS pula merupakan acara eksklusif anjuran bahagian dalam PIKOM, Outsourcing Malaysia yang akan meneroka lambakan isu dan peluang dalam industri perkhidmatan perniagaan global, merangkumi strategi sehinggalah taktik di seluruh rantau, industri dan teknologi.
Sumber: Bernama