Pelaburan AT&S ke Malaysia signifikan
11 Jun 2021
Kejayaan negara menarik pelaburan asing dianggarkan bernilai RM8.5 bilion dilihat signifikan, terutamanya apabila ekonomi dunia terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Pelaburan oleh AT&S, peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) global dan substrat litar bersepadu (IC) berpangkalan di Austria
antara lain menjadi kayu ukur keyakinan syarikat gergasi utama global ke atas Malaysia.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Khairil Nizam Khairudin, berkata ia adalah pelaburan terbesar pernah dibuat, membabitkan pembangunan fasiliti perkilangan di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah.
Katanya, ia bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi kepada rakyat dengan pembangunan fasiliti penghasilan produknya akan bermula Julai ini, manakala aktiviti komersial dijangka pada 2024.
“Pelaburan ini diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang akan memastikan pelaksanaan projek dirancang bersama syarikat AT&S berjalan lancar.
“Ia adalah antara beberapa siri kejayaan lain dalam tahun ini seperti pelaburan asing dari Jepun dan Korea, masing-masing pada Mac dan April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Pemuda PN akan terus bersama kerajaan dalam usaha memimpin negara untuk keluar daripada belenggu pandemik COVID-19.
“Pelbagai ikhtiar sudah dilaksanakan dan banyak siri kejayaan sudah digapai terutamanya dalam memastikan kelancaran dan keaktifan pergerakan ekonomi dalam negara,” katanya.
Sumber: Berita Harian