Axiata, Telenor, Digi meterai perjanjian bergabung
21 Jun 2021
Axiata Group Bhd (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Bhd (Digi) memuktamadkan kajian daya maju pelaburan dan memeterai perjanjian transaksi bagi pelaksanaan cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi (MergeCo).
Pemeteraian perjanjian transaksi itu hari ini mengesahkan hasrat untuk mewujudkan penyedia perkhidmatan bersepadu digital yang lebih utuh dan lebih berdaya tahan, dan menjadi peneraju pengendali telekomunikasi Malaysia dalam memacu cita-cita digital negara ini.
Berdasarkan asas proforma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.
Penggabungan Celcom-Digi akan menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan dan syarikat bergabung itu akan terus disenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd.
“Dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa dari segi permodalan pasaran, MergeCo dinilai pada nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah kira-kira RM50 bilion,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Axiata dan Telenor.
Axiata dan Telenor berkata, fasa perancangan integrasi akan merangkumi kerja terperinci mengenai sinergi dan rancangan perniagaan MergeCo, dan anggaran awal menunjukkan peningkatan nilai berpotensi melalui sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion berdasarkan nilai asas kini bersih.
Ia berkata, MergeCo akan menyaksikan gabungan skala, pengalaman, kecekapan dan kekuatan kewangan kedua-dua kumpulan telekomunikasi global itu dengan pengetahuan pasaran dua syarikat tempatan yang utuh.
“Kedudukannya yang unik untuk menangani peningkatan penggunaan perkhidmatan digital dan jangkaan penyambungan yang lebih baik, MergeCo akan mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dan menarik perkongsian berasaskan internet global untuk memberikan pelbagai penyelesaian inovatif untuk pelanggannya.
“Ia dalam kedudukan baik untuk melaksanakan teknologi digital bila 5G, Internet untuk Segalanya (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berawan secara bersama mempercepatkan digitalisasi merentasi semua masyarakat,” katanya.
MergeCo juga menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun dalam membangunkan Pusat Inovasi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dengan sasaran memacu transformasi digital Revolusi Industri 4.0 (4IR), mengukuhkan ekosistem tempatan dan menjadikan Malaysia di barisan hadapan evolusi digital global.
Dalam memanfaatkan peluang baharu dalam ekonomi digital, Pusat Inovasi itu akan melakukan penyelidikan dan pembangunan yang luas, membangunkan kes penggunaan 5G, menyokong syarikat permulaan digital tempatan, dan menyediakan platform untuk memupuk tenaga kerja berasaskan pengetahuan selaras dengan aspirasi MyDIGITAL.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris, berkata cadangan penggabungan berjalan lancar dan sejajar dengan hasratnya untuk memberikan cadangan nilai mantap yang membolehkan pelanggan mengambil bahagian lebih yakin dengan negara beralih ke arah ekonomi digital.
Beliau berkata, pihaknya berharap dapat menyampaikan nilai dan pilihan yang lebih baik untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam merapatkan jurang di kawasan luar bandar dan membantu perniagaan Rumah dan Perusahaan memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran digital yang dipercepatkan.
“Dengan andaian peralihan yang lancar, tempoh pasca integrasi, kami menjangkakan peningkatan dalam EBITDA dan marjin aliran tunai dalam entiti digabungkan sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pembayaran dividen untuk pemegang saham kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia dalam Telenor Group, Jørgen A. Rostrup, berkata pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi cadangan penggabungan.
Beliau berkata, industri telekomunikasi berada di awal peralihan digital yang menarik, dan teknologi baharu akan mengubah cara pembangunan dan penyampaian perkhidmatan untuk sektor swasta dan awam.
“Dengan penggabungan ini, kami menggabungkan kecekapan, pengukuhan kewangan dan skala untuk melangkaui penyambungan dan melaksanakan teknologi yang terus meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami,” katanya.
Dalam pengumuman sebelum ini, Axiata dan Telenor bersetuju Izzaddin menjadi Pengerusi dan Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi MergeCo, yang mana akan dinamakan sebagai Celcom Digi Bhd sebaik saja diluluskan pemegang saham, sementara
Idham Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Albern Murty sebagai Timbalan CEO.
Sementara itu, dari aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih 51 peratus MergeCo selepas proses penggabungan selesai.
Kedua-dua pihak komited untuk melindungi kesejahteraan pekerja tanpa pemberhentian secara paksa.
Setelah selesai, Axiata akan menerima terbitan saham biasa baharu dalam Digi, mewakili 33.1 peratus daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesarkan, pertimbangan tunai sebanyak RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion dari Digi sebagai hutang dalam MergeCo dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada kesamarataan pemilikan di bawah syarat penggabungan yang dicadangkan.
Cadangan penggabungan itu dijangka selesai suku kedua 2022, tertakluk kepada kelulusan yang berkaitan.
Sumber: Berita Harian