Binasat ambil alih 51 peratus pegangan dalam BCSB dengan harga RM18.36 juta
24 Jun 2021
TA Securities Holdings Bhd sebagai mewakili Binasat Communications Bhd memeterai perjanjian dengan Nik Abdul Hakim Abd Razak dan Mohd Solehuddin Yahya untuk membeli 255,000 saham biasa atau 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Borderless Connection Sdn Bhd (BCSB) dengan harga RM18.36 juta.
Sejajar dengan cadangan pengambilalihan itu, syarikat tersebut bercadang untuk melaksanakan cadangan pempelbagaian aktiviti utama Binasat dan anak syarikatnya dengan memasukkan penyediaan perkhidmatan infrastruktur utiliti termasuk perkhidmatan utiliti rangkaian transmisi dan pengagihan serta kemudahan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kemudahan fotovoltaik solar (PV).
“Lembaga percaya perniagaan BCSB akan menyediakan arus pendapatan tambahan kepada kumpulan dan mempelbagaikan asas pendapatannya.
“Pada masa depan lembaga menjangka perniagaan utiliti kuasa, mengikut cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang 25 peratus atau lebih kepada keuntungan bersih kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Ia juga merupakan inisiatif kumpulan untuk mengurangkan pergantungannya kepada perniagaan sedia adanya.
Sementara itu, selepas cadangan pengambilalihan itu, BCSB berhasrat memanfaatkan status penyenaraian Binasat sebagai syarikat senaraian awam di Pasaran ACE, reputasi, rangkaian industri dan sumber untuk menyertai dalam lebih banyak projek transmisi dan pengagihan.
Bayaran pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan tunai dan saham.
Sumber: Bernama