HSBC jangka impak ekonomi COVID ke atas Malaysia bersifat sementara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


HSBC jangka impak ekonomi COVID ke atas Malaysia bersifat sementara

HSBC jangka impak ekonomi COVID ke atas Malaysia bersifat sementara

29 Jun 2021

Impak ekonomi COVID-19 ke atas Malaysia dijangka bersifat sementara dan negara pasti akan pulih semula, kata HSBC.

“Kami sedar Bank Dunia telah menurunkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.5 peratus tahun ini (berbanding jangkaan 6.0 peratus pada Mac dan 6.7 peratus menjelang Disember 2020).

“(Unjuran kami adalah) sebenarnya sedikit di bawah itu, pada 4.1 peratus untuk tahun ini,  susulan cabaran  yang telah mengekang pertumbuhan permintaan domestik,” menurut Ketua Bersama Penyelidikan Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann dalam satu sidang media mengenai Prospek Asia HSBC untuk separuh kedua 2021  hari ini.

Cabaran yang dihadapi Malaysia akibat pandemik itu hanyalah seretan sementara, dengan bank itu meramalkan pertumbuhan 5.4 peratus bagi 2022 kerana yakin negara memiliki kedudukan yang unik dalam banyak aspek untuk bangkit semula daripada pandemik COVID-19.

“Salah satu bidang ini adalah daripada segi rantaian bekalan, yang mana Malaysia menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing dan mempunyai kedudukan yang istimewa bagi menawan rantaian bekalan yang bergerak ke Asia Tenggara.

“Kami melihat Malaysia sebagai kisah kejayaan  apabila negara  ini menawan  bahagian  pasaran eksport dalam pembuatan global. Kami percaya akan ini akan mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas kesan domestik akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini semakin pudar,” katanya lagi.

Daripada segi jadual penghantaran vaksin, Neumann berkata Malaysia sebenarnya agak mendahului saingan yang lain dan menjelang awal tahun depan, Malaysia sudah sewajarnya mencapai imuniti secara besar-besaran.

Dalam laporan unjurannya, HSBC menjelaskan kesan buruk ekonomi Malaysia akibat sekatan dijangka kurang berbanding PKP pertama pada 2020, memandangkan kini terdapat pengecualian yang lebih jelas termasuk persediaan awal perniagaan dan pengguna.

“Mujurlah, walaupun menghadapi cabaran jangka pendek yang ketara, prospek Malaysia untuk pemulihan kekal agak cerah. Kerajaan telah memperolehi vaksin yang mencukupi bagi penduduk termasuk sebahagian besar vaksin mRNA.

“Walaupun program vaksinasi  agak merangkak pada mulanya disamping wujud tanda-tanda  tentangan daripada orang awam, kadar inokulasi harian telah dipercepatkan dengan mendadak. Kami percaya tahap imuniti secara besar-besaran boleh dicapai menjelang Januari 2022, ini akan membenarkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada 2022,” katanya.

Satu lagi  kelebihan Malaysia adalah sektor pembuatannya yang berdaya tahan, yang  dijangka mencerminkan pertumbuhan eksport yang kukuh, walaupun selepas mengambil kira pemyusutan semasa Jun dan Julai, menurut laporan itu.

“Malaysia adalah salah satu pengeksport cip automotif siap terbesar di dunia dan mendapat keuntungan daripada kekurangan bekalan semasa. Sektor bioperubatan (sarung tangan pembedahan) dan komoditi sewajarnya menyaksikan pertumbuhan jumlah yang berterusan tahun ini,” katanya.

Inflasi utama akan tetap meningkat dalam jangka pendek kerana kesan asas yang tidak baik dan harga minyak yang lebih tinggi, tetapi permintaan yang rendah diramal akan terus mengekalkan inflasi teras di tahap terbawah.

“Namun, kadar  dasar sebenar  nyata yang negatif akan mendorong Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan polisi  monetari  semasa meskipun  wujud risiko penurunan terhadap unjuran pertumbuhannya,” tambah HSBC lagi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon