LYC Healthcare tubuhkan anak syarikat untuk kembangkan operasi pusat bersalin di Johor
13 Apr 2021
Anak syarikat milik penuh LYC Healthcare Bhd, LYC Mother and Child Centre Sdn Bhd menubuhkan anak syarikat milik 51 peratus untuk memudahkan pengembangan operasi pusat bersalinnya di Johor dengan Singapore O&G Ltd (SOG).
SOG yang tersenarai di Singapura menerusi anak syarikat milik penuhnya SOG Mummy and Baby Centre Pte Ltd, memegang baki 49 peratus lagi kepentingan dalam syarikat tujuan khas, LYC SOG Mother and Child Sdn Bhd (LYCSOG).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, LYC berkata aktiviti utama yang dirancang LYCSOG adalah mengendalikan pusat bersalin, pusat penjagaan ibu dan anak serta perkhidmatannya yang berkaitan.
LYC menyifatkan Johor sebagai lokasi menarik untuk rancangan pengembangan kumpulan itu dengan penduduknya, jumlah kelahiran hidup dan pendapatan menengah yang berada di belakang Selangor dan Kuala Lumpur.
“Ia berhampiran dengan Singapura, bererti pusat bersalin yang dicadangkan di Johor itu boleh meneroka pasaran Singapura dengan kelahiran hidup berjumlah 39,115 (setakat 2019) setahun berdasarkan Buletin Demogra Singapura yang dikeluarkan Lembaga Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura,” katanya.
Sumber: Bernama