Bintai Kinden cadang ambil alih Johnson Medical
13 Apr 2021
Bintai Kinden Corporation Bhd bercadang mengambil alih Johnson Medical International Sdn Bhd untuk mengembangkan segmen perniagaan penjagaan kesihatannya.
Sehubungan itu, ia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan vendor Yeo Eng Lam untuk mengambil alih kira-kira tiga juta saham biasa, mewakili 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Johnson Medical sebanyak RM50 juta.
“Cadangan pengambilalihan itu akan dipenuhi menerusi gabungan tunai berjumlah sehingga RM26 juta dan terbitan kira-kira 58.54 juta saham biasa dalam Bintai Kinden pada 41 sen setiap satu,” katanya.
Menerusi MoU itu, vendor itu akan menyediakan jaminan keuntungan kepada Bintai Kinden berjumlah RM3.50 juta dan RM5.60 juta, masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan tahun kewangan 2022.
Naib Pengerusi Eksekutifnya Ibrahim Othman berkata, langkah itu akan membolehkan syarikat berkenaan mengembangkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan selain pengedaran Greenie Medi Cold Chain Box (peti sejuk beku) pada masa ini, yang direka untuk penyimpanan dan pengedaran vaksin COVID-19 di bawah segmen perniagaan penjagaan kesihatannya.
“Ini akan membolehkan Bintai Kinden untuk meneroka segmen penjagaan kesihatan bagi membekal dan memasang pelbagai peranti perubatan seperti loket perubatan, unit penjagaan kesihatan bergerak dan modular, panel kepala katil, unit pembedahan bergerak dan stesen kerja trauma untuk memenuhi permintaan bagi perniagaan penjagaan kesihatan disebabkan pandemik ini.
“Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, langkah korporat ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan pada masa akan datang dan menambah baik kedudukan kewangan Bintai Kinden,” katanya.
Harga saham Bintai Kinden pada 46 sen tidak berubah ketika ditutup hari ni dengan jumlah dagangan 58.23 juta.
Johnson Medical yang ditubuhkan pada 1994 adalah penyedia penyelesaian kejuruteraan perubatan yang memberi tumpuan kepada pembuatan, pembekalan dan pemasangan bilik bedah, unit rawatan kritikal dan sistem penghantaran gas perubatan dan perniagaan peralatan dan bekalan perubatan.
Sumber: Berita Harian