Pelaburan sektor penerbangan, perubatan dijangka meningkat - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pelaburan sektor penerbangan, perubatan dijangka meningkat

Pelaburan sektor penerbangan, perubatan dijangka meningkat

20 Apr 2021

Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) menjangkakan pelaburan dalam sektor penerbangan dan peralatan perubatan akan lebih berkembang pada masa akan datang, disokong pertumbuhan mampan industri elektrik dan elektronik (E&E).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siobhan Das, berkata kedua-dua sektor hampir saling melengkapi industri asas E&E, bergantung antara satu sama lain di samping berkongsi kemahiran dan pengetahuan yang sama.

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelan pelaburan yang amat berjaya dalam industri E&E, dibuktikan dengan kejayaan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Taiwan di negara ini.

“Terdapat pertumbuhan (pelaburan) daripada sektor E&E dan juga terdapat peralihan ke arah sektor penjagaan kesihatan serta peralatan perubatan.

“Walaupun penerbangan semakin menjadi bidang yang mantap, kita mahu melihat pertumbuhan lebih besar datangnya daripada kedua-dua industri ini,” katanya pada webinar Bank Dunia bertajuk ‘Sasaran Tinggi: Menongkah Tahap Pembangunan Malaysia Selanjutnya’ hari ini.

Memetik inisiatif bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) ‘Bersama Malaysia’ Microsoft untuk menubuhkan pusat data serantau pertamanya di negara ini, Siobhan ia dibina berdasarkan asas Malaysia yang mantap dan teguh.

“Mana-mana pelabur yang meninjau Asia, wajar memerhatikan Malaysia dengan amat serius,” katanya.

Untuk terus berada di depan pesaing, Siobhan menggesa kerajaan untuk memodenkan ekosistem industri dengan membuka sektor perkhidmatan bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas pelaburan asing.

Mengenai bagaimana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan boleh meningkatkan kehadiran di arena global, Siobhan berkata, mereka perlu memiliki kepekaan yang lebih baik terhadap isu pematuhan kawal selia seperti inisiatif iklim atau amalan buruh.

“Banyak boleh dilakukan untuk membantu PKS memahami bagaimanana cara bekerja di peringkat global, kerana pelabur yang berada di sini bukan hanya bekerja untuk pasaran Malaysia, malah juga pasaran global.

“Justeru, mereka perlu memahami pelbagai perkara yang akan memberikan impak ke atas syarikat global dan ekosistem rantaian bekalan global,” katanya sambil menambah PKS juga perlu meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau pusat operasi di pelbagai negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon