Malaysia perlu perkukuh pembaharuan dasar untuk tarik pelaburan EU, UK - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia perlu perkukuh pembaharuan dasar untuk tarik pelaburan EU, UK

Malaysia perlu perkukuh pembaharuan dasar untuk tarik pelaburan EU, UK

05 Jul 2021

Malaysia mampu menjadi penerima utama manfaat pelaburan dari Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) yang boleh direalisasikan jika bertindak melaksanakan aspek penyesuaian dan penerimagunaan dalam perdagangan, kemampanan, teknologi, aliran digital serta pembaharuan.

Sehubungan itu, HSBC dalam kenyataan pada Isnin berkata, usaha menangani cabaran semasa tersebut memerlukan pembaharuan dasar lebih kukuh bagi menggalakkan aliran perdagangan serta penambahbaikan teknologi termasuk meliputi produktiviti pengeluaran.

“Tindakan pantas ini perlu bagi semua bidang — tenaga, pengangkutan, pembangunan di bandar, perindustrian serta kawasan bagi mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2030,” katanya.

Menurut HSBC, tindakan dasar itu termasuk ratifikasi atau mengesahkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perkongsian  Ekonomi  Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memacu pertumbuhan eksport dan menghapuskan sekatan selain turut membuka negara-negara ASEAN kepada lebih banyak aktiviti perdagangan.

“Kalangan perniagaan pula perlu melaksanakan pendekatan lebih strategik dalam penerimagunaan digital dengan membentuk ekosistem lebih kukuh, memacu standard serta amalan industri digital selain mempertingkat cara tindak balas serta penyesuaian terhadap perubahan sistem pembayaran,” katanya

Pada masa sama, perlu diwujudkan usaha galakan penerimagunaan amalan hijau dan mampan, termasuk menghubungkaitkannya dengan projek-projek akan datang di Asia Tenggara yang mampu membuka peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan EU dan UK.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia Stuart Milne berkata berteraskan asas-asas ekonomi yang kukuh, Malaysia juga menawarkan rangkaian peluang pelaburan kepada organisasi dari UK serta EU.

“Organisasi ini boleh berperanan sebagai sumber utama pelaburan yang merentasi sektor hijau dan teknologi di negara ini.

“Namun, kejayaan ini  memerlukan usaha membina daya tahan serta transformasi pendekatan yang diamalkan di Malaysia pada masa ini dan di masa depan,” katanya.

Milne juga berpendapat bahawa kelebihan demografi besar Asia Tenggara yang merangkumi tenaga kerja muda dan kos yang secara relatifnya rendah, turut menjadikan rantau itu sebagai destinasi menarik untuk syarikat-syarikat antarabangsa.

“Perkara utama bagi Asia Tenggara adalah untuk mendapatkan semula pemacu pertumbuhan tradisional membabitkan perdagangan dan pelaburan serta merebut peluang dalam bidang hijau dan digital.

“Ini memerlukan tindakan beberapa pasaran ASEAN untuk mengetengahkan beberapa galakan pembaharuan dasar bagi menarik pelaburan asing,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon