Jualan pembuatan Malaysia meningkat 37.2 peratus pada Mei 2021 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jualan pembuatan Malaysia meningkat 37.2 peratus pada Mei 2021

Jualan pembuatan Malaysia meningkat 37.2 peratus pada Mei 2021

12 Jul 2021

Jualan pembuatan Malaysia meningkat 37.2 peratus tahun ke tahun kepada RM122.7 bilion pada Mei 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, nilai jualan merosot 6.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ketara dalam nilai jualan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastic (+48.7 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

“Pengembangan ini juga didorong oleh pertumbuhan subsektor produk elektrik dan elektronik (+31.0 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, subsektor produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain  turut meningkat 59.5 peratus, terutamanya dalam industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.

Dari segi jumlah pekerja, Mohd Uzir berkata jumlah pekerja dalam sektor pembuatan pada Mei 2021  meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 2.24 juta orang berbanding 2.16 juta orang pada Mei 2020.

Jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM7.42 bilion pada bulan berkenaan, manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,316.

Sementara itu, nilai jualan per pekerja meningkat 33.4 peratus tahun ke tahun kepada RM54,875 daripada RM41,136 pada tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon