China Construction Bank akan tubuh platform perdagangan digital serantau
15 Jul 2021
China Construction Bank (Malaysia) Bhd (CCBM) dan China Construction Bank Corporation Labuan Branch (CCBL) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga firma untuk membina platform digital “window single window” (RSW) yang komprehensif untuk kemudahan perdagangan.
RSW adalah bagi mempromosikan kemudahan perdagangan antarabangsa dengan negara-negara rakan dagang utama dan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembiayaan eksport dan import melalui pendekatan ekosistem. Ini adalah platform digital kemudahan perdagangan berasaskan kecerdasan buatan yang menghubungkan kewangan perdagangan, insurans dan logistik dalam satu pasaran tunggal.
CCBL dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata ketiga-tiga syarikat itu – SealNet Sdn Bhd, Bay Supply Chain Technology Sdn Bhd (CapBay) dan Labuan Digital Authentication Center Inc (DAC), telah menandatangani MoU pada Rabu, ia disaksikan oleh wakil daripada Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).
Ketua Pegawai Eksekutif CCBM, Felix Feng Qi; wakil SealNet, Datuk Patrick Wong; Pengarah Eksekutif CapBay, Ang Xing Xian dan Pengarah DAC, Datuk Tee Ting Cham menandatangani dokumen tersebut.
Bagi melengkapkan RSW, platform padanan pintar kumpulan perbankan China itu, CCB Match Plus akan mengintegrasikan data domestik dan antarabangsa untuk memudahkan pemadanan barangan rentas sempadan.
CapBay akan melengkapkan ekosistem RSW dengan platform pembiayaan e-perdagangan untuk memberikan akses yang lebih baik kepada PKS Malaysia kepada pembiayaan perdagangan manakala SealNet akan menghubungkan RSW dengan pengimport, pengeksport, pengeluar dan perniagaan yang berkaitan dengan perdagangan.
Sementara itu, Pegawai daripada EXIM Bank, Chin Chon Young dalam satu kenyataan bersama berkata MoU itu menandakan permulaan pembangunan yang menarik bagi pengeksport dan pengimport di Malaysia kerana RSW direka dengan mempertimbangkan kemudahan dan aksesibiliti kewangan, disokong oleh teknologi digital.
Timbalan Pengurus Besar CCBM, Wang Qijie berkata CCBM telah memberi sokongan untuk penubuhan RSW tersebut.
“Menerusi rangkaian langsung ini, ia akan mewujudkan rantaian nilai perniagaan bagi pelanggan kami di mana perniagaan yang dibuat sesuai di CCB Match Plus dapat mengalir secara lancar kepada RSW untuk pelaksanaan urus niaga,” katanya.
Wong SealNet berkata syarikat itu akan menangani beberapa kelemahan yang menjejaskan kecekapan dan mengakibatkan pembaziran daripada segi kos dalam industri berkenaan.
“SealNet dibangunkan untuk menghubungkan rantaian bekalan global dan logistik untuk meningkatkan kecekapan mekanisme kemudahan pengangkutan dan perdagangan, bagi menambahbaik produktiviti logistik barangan dan untuk menyediakan sistem elektronik yang lebih baik untuk logistik serta perdagangan rentas sempadan.
“Pelanggan dapat memiliki akses mudah dan terjamin ke platform perdagangan digital SealNet pada bila-bila masa, di mana sahaja untuk menikmati penjimatan masa dan kos serta beroperasi dalam masa sebenar dengan ketepatan data,” katanya.
Pada tahun 2020, jumlah eksport Malaysia mewakili 26 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 22.1 peratus pada tahun 2019.
“Dengan trend eksport yang semakin meningkat, RSW akan terus menyokong dan mewujudkan asas yang kukuh untuk meringankan dan mengembangkan perdagangan di rantau ini. Di bawah MoU itu, memanfaatkan kepakaran rakan niaga, pihak yang terlibat akan secara kolaboratif membangunkan model kredit pembiayaan perdagangan komprehensif sebagai komponen utama untuk menyokong platform pembiayaan e-perdagangan,” katanya. Rakan niaga juga bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang menghubungkan CCB Match Plus dengan ekosistem RSW, manakala CCBM akan berperanan untuk menangani penyelesaian dan lain-lain perkata yang berkaitan di belakang tabir.
Sumber: Bernama