Kestabilan politik antara resepi kejayaan Sarawak tarik pelaburan RM15.7 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kestabilan politik antara resepi kejayaan Sarawak tarik pelaburan RM15.7 bilion

Kestabilan politik antara resepi kejayaan Sarawak tarik pelaburan RM15.7 bilion

24 Okt 2021

Menguruskan soal kesihatan awam yang rumit ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak awal 2020, dan pada masa yang sama mengimbangkan urusannya dengan usaha untuk menjaga ekonomi agar tidak terus merudum, bukanlah suatu tugas yang mudah.

Berkat usaha gigih barisan pentadbiran Sarawak dan kestabilan politik di Bumi Kenyalang dilihat berjaya mengharungi cabaran maha hebat ini untuk melakar kejayaan, sehingga mampu meraih pelaburan berjumlah RM15.7 bilion dalam tempoh sukar itu.

Sementara ramai pelabur memilih untuk berbincang secara maya dalam usaha membanteras penularan jangkitan, namun masih ada yang sanggup datang sendiri bersemuka, malah sanggup menjalani tempoh kuarantin dua minggu semata-mata kerana mahukan kepastian dan keputusan segera, kerana bagi mereka perniagaan perlu diteruskan, biar apa pun cabarannya.

Tatkala itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta pegawai-pegawai sektor perdagangan dan industri Sarawak terpaksa melayani pertanyaan dan kehendak pelabur meskipun pada waktu luar pejabat dan juga semasa cuti hujung minggu – COVID-19 bukan penghalang, kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Dalam temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Hamdan Ismail, dan Diah Mohd Jaiz di Kuching baru-baru ini, Awang Tengah secara santai menceritakan butiran terperinci dan perihal usaha gigih kerajaan Sarawak mengharungi cabaran ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, berkongsi resepi kejayaan serta perancangan dalam usaha meletakkan Sarawak di landasan betul ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Berikut ialah catatan petikan wawancara khas itu:

BERNAMA: Walaupun dalam keadaan COVID-19, Sarawak masih mampu menarik pelaburan bagi menjana ekonominya seperti yang terbukti apabila sejak awal tahun lepas, RM15.7 bilion pelaburan telah diluluskan. Apakah inisiatif dan strategi yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak terus menjadi tarikan khususnya kepada pelabur asing?

AWANG TENGAH: Ya, memang dalam keadaan kita sekarang berhadapan masalah pandemik COVID-19 selama dua tahun, ini adalah satu tempoh masa begitu sukar sekali, dan ia menjejaskan dari segi ekonomi dan banyak golongan masyarakat kita.

Kita bersyukur bahawa dalam keadaan mencabar ini, masih ada pelabur-pelabur yang berminat walaupun tidak dapat berjumpa secara fizikal. Kita selalu mengadakan mesyuarat, perjumpaan secara maya. Dalam tempoh dua tahun ini, kita menerima pelaburan sebanyak RM15.7 billion, dan Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan yang utama di Malaysia.

Ini adalah disebabkan oleh dasar-dasar sejak daripada Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Dipertua Negeri) menjadi ketua menteri, disambung oleh Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dan sekarang di bawah kepimpinan YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dasar-dasar ini diteruskan dan sudah tentu mengikut kehendak semasa; dan peralihan suasana itu memang ada perubahan-perubahan.

Dasar yang ada untuk menarik pelabur-pelabur, ‘dasar mesra perniagaan’ itu, adalah satu daripada dasar yang menarik pelabur; dan dalam hal ini selain daripada insentif-insentif daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga memberi insentif terutama sekali dari segi tawaran pembekalan tenaga elektrik yang kompetetif, dan tarif air berpatutan serta premium tanah – malah jika pelabur dapat menyiapkan projek dalam tempoh masa ditetapkan, mereka boleh dapatkan rebat.

Kita telah berjaya walaupun banyak lagi yang harus ditingkatkan dari segi kemudahan di kawasan industri. Ini penting untuk pelabur-pelabur. Kita bertuah dari segi kedudukan kita yang amat strategik, cuma enam jam sahaja ke China menerusi penerbangan, dan kita sedang naik taraf rangkaian jalan raya, ketersambungan jalan laut dan juga udara.

Kita naik taraf dari semasa ke semasa, dan sistem telekomunikasi ditingkatkan lebih-lebih lagi dalam usaha kita untuk hendak beralih kepada industri 4.0 dan ke arah ekonomi digital.

Kita mempunyai kerjasama dengan banyak pihak, lebih-lebih lagi pertubuhan perniagaan di Sarawak yang memberi input kepada mengenai apakah bidangbidang yang harus diberi keutamaan. Mereka juga mempunyai networking dengan rakan sejawatan dari beberapa negara. Pada masa sama, kita mempunyai perkhidmatan awam, pegawai kerajaaan yang begitu efisien.

Saya ingin terangkan bahawa adakalanya pelabur-pelabur ini datang hendak tahu bagaimana untuk buat pelaburan yang akan mereka buat, apakah syaratsyarat yang perlu dipenuhi dan mereka mahu masa yang singkat untuk kita buat keputusan. Kadang-kadang pelabur itu datang, walaupun di luar masa pejabat, hujung minggu sekalipun, saya panggil mereka dan jumpa pelabur-pelabur ini.

Mana yang ada dalam bidang kuasa kita, kita akan bagi keputusan pada masa itu – bagi para pelabur ini, masa itu emas. Pegawai-pegawai saya walaupun hujung minggu kalau terpaksa kita panggil mereka untuk berjumpa, mereka bersedia, itu adalah sesuatu yang mereka amat hargai. Kita juga memenuhi sebahagian daripada keperluan mereka lebih-lebih lagi dari segi tenaga kerja dan kita bincang berapa pekerja yang diperlukan untuk bidang industri yang diceburi.

Kita rancang dan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, kolej-kolej teknikal mengikut keperluan industri-industri. Syukur alhamdullilah setakat ini dengan kita menyediakan ekosistem perniagaan yang baik, mereka mahu melabur di sini dan disebabkan itu Sarawak menjadi destinasi pelaburan sama ada terutamanya menerusi FDI (pelaburan langsung asing) dan juga DDI (pelaburan langsung domestik) di Malaysia.

Kita bukan sahaja bersaing dengan negara-negara lain, tetapi di Malaysia sendiri kita bersaing dengan negeri-negeri lain, ini adalah persaingan yang sihat. Ada antara pelabur-pelabur yang datang sanggup untuk dikuarantin. Walaupun kita boleh adakan mesyuarat secara maya, dia (pelabur) tetap mahu datang ke sini dan sanggup untuk dikuarantin selama dua minggu dan selepas itu dia bincang dengan kita.

BERNAMA: Menyentuh pelaburan dalam sektor industri, Datuk Amar. Adakah sudah terdapat pelabur-pelabur yang berminat memulakan bidang industri baharu di Sarawak dan sekiranya ada, bila dijangkakan pembangunan industri baharu ini bermula?

AWANG TENGAH: Kerajaan Sarawak melalui strategi pembangunan pasca COVID-19 menetapkan enam sektor ekonomi diberi penekanan iaitu pembuatan, pertanian, komersial, pelancongan, perhutanan, dan perhubungan serta perkhidmatan sosial. Sektor ini akan dikukuhkan dengan tujuh enabler seperti transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti, tenaga diperbaharui (renewable energy) serta pendidikan dan pembangunan modal insan.

Sudah ada pelabur-pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang baharu terutama sekali dari segi tenaga hijau (green energy), dalam bidang hidrogen; dan sebenarnya baru-baru ini kita mengadakan mesyuarat secara maya dengan pelabur dari Australia yang berminat untuk melabur dalam industri hidrogen. Minggu lepas, saya bersama YAB Ketua Menteri sendiri mengadakan perbincangan menerusi aplikasi Zoom dengan pelabur-pelabur dari Korea yang menggabungkan beberapa syarikat besar seperti Samsung, Posco, Lotte Chemical. Mereka berminat untuk melabur dalam bidang ini dan pelaburannya agak besar.

Dalam sektor minyak dan gas, kita akan tingkatkan pembangunan dalam industri ini sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran. Penekanan diberi kepada sektor hiliran seperti industri petrochemical. Sudah ada yang dalam pelaksanaan sekarang, dan banyak lagi syarikat berminat untuk melabur dalam sektor ini terutama dalam petrochemical; manakala aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas.

Sehubungan itu, kita juga melantik pakar perunding untuk membuat pelan induk (master plan) bagi merangka pelan pembangunan industri minyak dan gas, terutamanya aktiviti hiliran bernilai tinggi, melibatkan kawasan Samalaju, Bintulu, Kidurong, Tanjung Manis, Lawas dan Kuching.

Dalam sektor perkayuan, memanglah masa ini kita merupakan pengeluar terbesar untuk plywood, vernier. Produk ini kita eksport khususnya ke Jepun, Korea, China dan kita akan tingkatkan lagi pembangunan industri berasaskan kayu terutama sekali untuk menuju kepada produk tambah nilai tinggi, seperti dalam bidang perabot.

Bagi sektor pertanian, beberapa syarikat dari luar mahu dalam negara menunjukkan minat untuk melabur khususnya yang menggunakan platform digital IOT (Internet of Things). Ini selari dengan usaha kerajaan sekarang membangunkan sektor ini dan matlamat menjadikan Sarawak sebagai net exporter.

BERNAMA: Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak atau SCORE yang kini menjangkau 13 tahun pelaksanaannya pasti menjadi kawasan utama tumpuan pelaburan di Sarawak. Selain SCORE, adakah terdapat kawasan lain di Sarawak yang sudah dikenal pasti menjadi tumpuan baharu pelaburan?

AWANG TENGAH: SCORE adalah kawasan pembangunan koridor meliputi bahagian tengah dan utara Sarawak. Ia merupakan satu tempat yang menarik banyak pelaburan asing (FDI). Kita sudah perbesarkan kawasan SCORE dan di bawah RECODA, kita mewujudkan tiga agensi iaitu Upper Rajang Development Agency, High Land Development Agency dan Northern Region Developement Agency. Kenapa kita tubuhkan? Ini kerana kawasan SCORE begitu besar, jadi kita tubuh agensi yang akan dapat memberi fokus kepada kawasan tertentu dengan mengambil kira tentang kekuatan di sesuatu tempat.

Sudah tentu kita hendak menekankan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, dengan itu kita dapat merancang apakah pembangunan yang harus dibangunkan misalnya di Hulu Rajang ada Hulu Rajang Development Agency. Tempat itulah terletaknya Bakun Hydro dan Murum, manakala Baleh sedang dalam pembinaan. Itu bukan sahaja untuk memberi kita cukup bekalan elektrik tetapi kawasan itu boleh dibangunkan sebagai pembangunan tempat peranginan.

Ia akan menjadi satu tarikan untuk ekopelancongan dan kerana kawasannya luas, ia boleh dibangunkan mengikut kesesuaian sesuatu tempat seperti pembangunan aquaculture secara komersial. Ia adalah satu tempat yang mempunyai sumber, keunikan tersendiri, dan diisytiharkan sebagai Taman Negara. Ini kekuatan bagi kita mengembangkan sektor pelancongan lebih-lebih lagi ekopelancongan.

Kita banyak mempunyai kekuatan kita sendiri. Samalaju adalah satu kawasan perindustrian yang luas, meletakkan multinational corporations, dan jumlah pelaburan kini sudah mencecah RM28.43 billion dengan anggaran spinoff tahunan bernilai RM4 billion. Setakat ini 6,654 peluang pekerjaan diwujudkan, dan 68 peratus adalah pekerja tempatan.

Kesemua aktiviti pelaburan ini mencatatkan nilai eksport RM9.4 billion pada 2020. Selain daripada SCORE, kita akan memperbesarkan lagi Sama Jaya High-Tech Park di Kuching. Ini merupakan tempat utama untuk industri yang berasaskan high-tech. Setakat ini, sudah terdapat beberapa syarikat multinasional yang beroperasi dan ia melibatkan pelaburan yang begitu banyak.

Satu kejayaan aktiviti pelaburan di Sama Jaya High Tech Park – sebanyak 13,761 orang bekerja dan peluang pekerjaan diwujudkan menyaksikan 99 peratus adalah penduduk tempatan, termasuk dalam peringkat pengurusan atau pihak atasan.

Jumlah keseluruhan pelaburan di Sama Jaya kini mencecah kepada RM17.5 billion, dengan kadar spinoffs tahunan sebanyak RM667 juta. Nilai eksport dari Sama Jaya High Tech Park berjumlah RM6.93 billion bagi 2020. Kita akan perbesarkan lagi, banyak syarikat multinasional berminat akan melabur di kawasan ini.

Pada masa sama, kita akan tubuhkan Furniture Park di Kuching dan di Tanjung Manis. Ini adalah cara kita untuk menarik pelabur luar atau dalam melibatkan diri dalam bidang pengeluaran produk-produk kayu yang bernilai tinggi. Buat masa ini, sudah terdapat pelabur dari China yang berminat untuk melabur di Furniture Park.

Kita turut menyediakan tempat untuk pembangunan bidang pertanian seperti Food Basket di Betong, Sarikei dan Mukah. Kita akan wujudkan pembangunan Agro Park di beberapa kawasan seperti Lubok Tamang, Asajaya dan Sungai Baji di Sarikei.

Ini adalah untuk menarik pelaburan bidang-bidang baharu ataupun untuk mengembangkan lagi pelaburan mereka. Kita juga memberi penekanan kepada pembangunan industrial estate di bandar-bandar kecil di Sarawak.

Sekurang-kurangnya kita perlu ada satu industrial estate di setiap bahagian, bukan sahaja untuk pelabur dari luar dan dalam, tetapi yang penting untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana. Perusahaan kecil dan sederhana adalah sesuatu yang penting untuk pembangunan ekonomi negara dan negeri.

Kita tekankan pembangunan Anjung Usahawan dan ini dilaksanakan di beberapa bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung-kampung.

Konsep Anjung Usahawan membolehkan inidvidu melibatkan diri dalam pemprosesan seperti memproses makanan dan dalam masa sama mereka dapat mempromosi produk-produk mereka. Ini penting untuk kita bantu kerana kita tahu sumbangan perusahan kecil dan sederhana begitu besar dan disebabkan itu kementerian kita bersama agensi-agensi lain akan terus memberi tumpuan untuk menyediakan premis-premis kepada mereka dan membantu mereka dari segi capacity building, modal dan mempromosikan produk-produk mereka.

Kerajaan negeri juga telah menubuhkan STATOS (Pejabat Pelancongan dan Perdagangan) di Singapura dan Sarawak Pavilion di Kuala Lumpur. Tujuannya membantu perusahaan kecil dan sederhana menembusi pasaran yang lebih luas. Insya-Allah, kita akan menubuhkan pejabat di Brunei dan Pontianak, Indonesia.

Satu lagi bidang yang diberi penekanan ialah industri perkapalan. Kita merancang untuk membangunkan satu kawasan di Tanjung Manis dan menjadikan Tanjung Manis Marine Engineering Park di Paloh, dekat dengan Tanjung Manis di bahagian Mukah untuk industri pembinaan kapal, pembaikan kapal, dan kejuruteraan kapal.

Daripada 100 limbungan kapal yang ada di Malaysia, terdapat 60 limbungan di Sarawak terutama sekali di Sibu dan Miri. Ia mempunyai potensi besar dan masa ini mereka telah berjaya membina kapal-kapal untuk dieksport ke Australia, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Indonesia dan Vietnam; malahan sampai ke Eropah pun
ada. Ini adalah industri yang mempunyai potensi untuk berkembang.

BERNAMA : Selain berjaya menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan di negara ini, satu lagi kejayaan yang dilakar Kerajaan Sarawak adalah dari segi mempelbagaikan kaedah penjanaan pendapatan dan ini dilihat dalam pelaksanaan Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum sejak 2019. Bagaimanakah Datuk Amar melihat manfaat yang dikecapi rakyat Sarawak susulan pelaksanaan cukai jualan negeri ini?

AWANG TENGAH: Kita melaksanakan cukai jualan negeri ini untuk beberapa produk petroleum yang dieksport. Ia telah meningkatkan sumber pendapatan negeri Sarawak. Ia dibuat berdasarkan kuasa yang ada pada kita, selaras dengan kuasa di bawah Sales Tax Ordinance. Kita bersyukur menerima cukai jualan dengan jumlah agak besar, lebih kurang RM6.8 bilion.

Ia adalah satu daripada perolehan kejuruteraan yang dibuat oleh YAB Ketua Menteri dan pendapatan ini membolehkan kita melaksanakan lagi beberapa projek strategik untuk membangunkan negeri dan ia penting untuk membolehkan kita membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Mujur kita ada pendapatan tambahan ini terutama sekali untuk membantu masyarakat dalam kalangan B40, dan dalam kalangan M40 pun ada yang terjejas.

Tidak kurang juga masyarakat perniagaan dan perusahaan, banyak yang terjejas. Kita tahu ada yang gulung tikar dan ada yang hilang pekerjaan.

Selain inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan semasa tempoh pandemik, kerajaan negeri melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) daripada 1.0 hingga 7.0, dan pada 14 Okt, YAB Ketua Menteri mengumumkan 7.0+ melibatkan peruntukan RM5.3 billion.

Insya-Allah menerusi Belanjawan 2022, YAB Ketua Menteri menyatakan bahawa kita akan melancarkan BKSS 8.0 untuk membantu mereka yang terjejas, termasuklah perusahaan kecil dan sederhana, bagaimana mereka dapat memulihkan lagi perniagaan, malah termasuk pemberian tunai sekali bayar untuk B40, orang bujang, anak baru lahir, ibu yang melahirkan anak.

Kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk tujuan pengurusan pandemik COVID-19 berjumlah RM97 juta.

BERNAMA: Secara holistiknya, kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya meneruskan agenda pembangunan di Sarawak meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu. Sejak penubuhannya pada 2018, mungkin ada formula kejayaan GPS mentadbir Sarawak yang menjadi panduan.

AWANG TENGAH: Kita bersyukur sejak dari Tun Abdul Taib lagi sehinggalah kepada Allahyarham Tok Nan dan sekarang YAB Abang Jo, Sarawak dapat mengekalkan kestabilan politik dan mempunyai kerajaan yang stabil, kerajaan yang mempunyai dasar tidak mahu meminggirkan manamana pihak, dasar mahu menumpukan kepada usaha untuk membangunkan Sarawak dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Satu asas yang kukuh kenapa kita dapat membangunkan negeri kita iaitu kestabilan politik dan keutuhan kerajaan yang disokong oleh rakyat.

Keduanya, kita mempunyai keadaan aman damai, rakyat walaupun berbilang kaum, keturunan berbeza-beza, dari segi agama pun berbeza tetapi dapat hidup dalam keadaan harmoni, bersatu padu, bekerjasama antara satu dengan yang lain. Perbezaan yang ada bukan menjadi satu masalah bagi kita di Sarawak malahan ia menjadi sesuatu kekuatan.

Masa kita menubuhkan UNIFOR (Unit Hal Ehwal Agama-agama lain) ia disambut baik oleh semua masyarakat termasuk dalam kalangan masyarakat Islam. Bagi umat islam, kita sudah ada Majlis Agama Islam, kita ada Jabatan Agama Islam dan kita tubuhkan UNIFOR adalah untuk kita wujudkan satu masyarakat yang harmoni, hidup bersatu padu walaupun kita berbeza dari segi fahaman agama.

Ini adalah sesuatu yang disambut baik oleh masyarakat. Ini harus kita pertahankan, kestabilan politik, keutuhan kerajaan itu begitu penting.

Kalau keadaan kita kucar-kacir, kita tidak akan rasa selamat, ini penting dan dari segi pelaburan, kita akan terus meningkatkan ekosistem dan persekitaran yang kondusif untuk pelabur. Kita bercadang Insya-Allah menjelang tahun depan untuk mewujudkan Sarawak Invest bagi memudahkan pelabur yang berminat mengetahui apakah syarat-syarat pelaburan dan apakah insentif-insentif yang mereka boleh peroleh.

Untuk Malaysia maju dan Sarawak terus maju, kita mempunyai hasrat untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri berstatus negeri maju dengan berpendapatan tinggi menjelang 2030. Kita perlukan kestabilan politik, kerajaan yang kuat. Kita perlu pastikan bahawa kita stabil dan kerajaan mempunyai visi bagaimana hendak memajukan negeri ini.

Jadi kita sama-samalah memupuk kerjasama, perpaduan kita untuk meneruskan kestabilan politik dan kerajaan ini akan terus berusaha untuk memelihara kepentingan masyarakat membangunkan negeri ini. Dalam masa sama, kita akan terus memperjuangkan mana-mana yang menjadi hak kita yang terhakis baik secara sengaja atau tidak sengaja dan ini merupakan hak kita seperti apa yang termaktub dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).

Kita akan terus perjuangkan kerana ini adalah hak kita yang seharusnya dikembalikan, Kita bersyukur kita telah ada venue untuk membincangkan perkara ini, YAB PM meneruskan penubuhan Mesyurat Majlis Khas MA63.

Kita telah mencapai banyak yang telah kita tuntut, mana-mana yang masih belum dicapai, komitmen untuk meneruskan perbincangan bagi menyelesaikan masalahmasalah ini diteruskan. Ini tetap kita terus perjuangkan bukan saja untuk Sarawak tetapi kepentingan negara malaysia itu sendiri supaya negara kita akan sentiasa maju ke depan dan mempunyai semangat perpaduan dan kesepakatan yang tinggi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon