MIDA, MEDEF International meterai MOU galakkan pelaburan
18 Okt 2021
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan jaringan perniagaan swasta Perancis di luar negara, MEDEF International, untuk terus mendorong, mempromosikan dan memudahkan pelaburan dan kerjasama perniagaan yang berpotensi.
Pemeteraian di Paris itu disaksikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam menekan kepentingan MoU itu, beliau berkara Perancis telah lama beroperasi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.
“Menyedari sinergi antara keupayaan inovatif Perancis dan saranan nilai Malaysia, kami yakin akan ada lebih ramai pelabur Perancis melabur terutama dalam bidang bernilai tinggi dan berteknologi tinggi seperti peralatan pengangkutan (aeroangkasa) serta jentera dan peralatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan berharap pelaburan ini dapat mengalakkan lebih banyak program pembangunan bakat untuk tenaga kerja kalis masa depan, berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional negara dan Rancangan Malaysia ke-12.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu akan membolehkan lebih banyak perniagaan dan penyedia teknologi Malaysia mewujudkan jalinan dengan rantaian bekalan global dengan lebih baik.
“Kerajaan Malaysia, melalui MIDA, akan terus bekerjasama rapat dengan MEDEF International untuk meningkatkan dan merealisasikan lagi pelaburan Perancis di
Malaysia,” katanya.
Sumber: Bernama