Malaysia kenakan duti anti-lambakan untuk lima tahun aloi gegelung gulungan sejuk, keluli bukan aloi dari China, Korea Selatan & Vietnam
15 Okt 2021
Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan ke atas import aloi gegelung gulungan sejuk dan keluli bukan aloi yang mempunyai ketebalan antara 0.20 milimeter hingga 2.60 milimeter dan kelebaran antara 700 milimeter hingga 1,300 milimeter yang berasal atau dieksport dari China, Republik Korea (Korea Selatan) dan Vietnam.
Duti yang dikenakan adalah di antara 7.42 peratus dan 42.08 peratus.
Kerajaan juga telah membuat penentuan muktamad bahawa duti anti-lambakan tidak akan dikenakan ke atas import plat hitam kilang timah dan barang dagangan subjek untuk penggunaan akhir automotif, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan ini selama lima tahun, bermula 9 Oktober 2021 hingga 8 Oktober 2026.
“Dengan melanjutkan pengenaan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek dari China, Korea Selatan dan Vietnam. ia diharap isu amalan perdagangan tidak adil dapat ditangani.” kata MITI dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MITI berkata kadar duti terhadap Bengang Steel Plates Co. Ltd, BX Steel POSCO Cold Rolled Sheet Co. Ltd, dan Jiangsu Shagang International Trade Co. Ltd, semuanya dari China, masing-masing dikenakan 42.08 peratus, 35.89 peratus dan 42.08 peratus. Duti terhadap syarikat lain dari China juga akan dikenakan sebanyak 42.08 peratus.
Bagi Korea Selatan pula, duti yang dikenakan kepada Hyundai Steel Company adalah 11.55 peratus dan POSCO tidak dikenakan. Syarikat lain dari negara itu akan dikenakan duti 21.64 peratus.
Untuk China Steel Sumikin Viet Nam Joint Stock Company dari Vietnam, duti 33.70 peratus akan dikenakan, POSCO – Viet Nam Co. Ltd. pula adalah 7.42 peratus dan syarikat lain juga akan dikenakan kadar duti sebanyak 33.70 peratus, katanya.
Pada 12 April 2021, kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap pengenaan duti anti-lambakan berkenaan dengan import aloi gegelung gulungan sejuk dan keluli bukan aloi yang mempunyai ketebalan antara 0.20 milimeter hingga 2.60 milimeter dan kelebaran antara 700 milimeter hingga 1,300 milimeter yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam ke Malaysia.
Siasatan tersebut dijalankan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh Mycron Steel CRC Sdn. Bhd, bagi pihak industri domestik yang mengeluarkan produk yang serupa.
Berdasarkan subseksyen 28(8) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993, kajian semula pentadbiran dijalankan oleh kerajaan untuk menentukan sama ada terdapat keperluan melanjutkan tempoh pengenaan duti anti-lambakan bagi mengimbangi lambakan atau/dan menghalang kemudaratan yang berterusan sekiranya pengenaan duti ini dihentikan atau diubah.
Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, kerajaan telah menjalankan dan menyempurnakan kajian semula pentadbiran sebelum memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan, katanya.
Sumber: Bernama